Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan Indonesia diminta tidak turun ke laut buat sementara waktu - KJRI Kota Kinabalu


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





KOTA KINABALU, 24 Sept  -- Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu meminta warganegara Indonesia di Sabah supaya sentiasa berwaspada dan tidak turun ke laut buat sementara waktu ekoran kes penculikan tiga rakyat negara itu oleh penjenayah rentas sempadan, semalam.

Peringatan itu keluarkan oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani berikutan kes penculikan yang berlaku di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Krishna berkata KJRI Kota Kinabalu memandang serius kejadian berkenaan yang  berlaku sekali lagi di perairan pantai timur Sabah.

“KJRI Kota Kinabalu sangat prihatin peristiwa penculikan di wilayah perairan pantai timur Sabah terjadi kembali. KJRI telah menghimbau (menyeru) para nelayan warganegara Indonesia agar tetap waspada dan untuk sementara (waktu) tidak pergi ke laut,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, tiga nelayan iaitu Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, Samiun Maneu, 27, hilang dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata dan bertopeng di perairan Tambisan.

Kumpulan bersenjata itu yang menaiki dua bot pam dilapor melarikan diri ke perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Pada awal September lalu, KJRI Kota Kinabalu mengeluarkan Surat Pemberitahuan mengenai pergerakan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina yang ada kaitan dengan penculikan untuk wang tebusan di pantai timur Sabah.

Krishna, ketika ditemu bual Bernama pada 3 September lepas berkata, Surat Pemberitahuan itu bagi memberi peringatan kepada kira-kira 300,000 warga Indonesia berdaftar di Sabah khususnya yang bekerja di sektor perikanan sebagai nelayan dan kru kapal untuk berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan ketika berada di laut supaya tidak menjadi mangsa penculikan.

Menurutnya, sejak dari 2000 hingga 2018, lebih 20 kes penculikan melibatkan warga Indonesia dengan mengorbankan hampir 40 orang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Peniaga ingkar arahan penggunaan produk biodegradasi dikompaun

 
     

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel