Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UiTM suntik RM1 juta kepada SMRI, tingkatkan produktiviti berteraskan IR 4.0


Tarikh kemaskini: 24/09/2019





SHAH ALAM, 24 Sept  -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini mengumumkan suntikan dana RM1 juta kepada Smart Manufacturing Research institute (SMRI) bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk penyelidikan yang boleh meningkatkan kemahiran berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

SMRI dibangunkan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UiTM pada Julai lepas, sebagai institusi yang menghubungkan lebih banyak jalinan antara para akademik dan industri dalam mempercepatkan aplikasi teknologi pembuatan termaju dan pintar ke arah mencapai objektif untuk memenuhi keperluan industri sejajar dengan IR 4.0.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kasim berkata suntikan dana kepada SMRI adalah supaya institusi berkenaan dapat membantu industri tempatan serta antarabangsa dalam meningkatkan prestasi ekonomi mereka melalui transformasi dan peningkatan produktivti, daya saing dan pembangunan produk.

“SMRI akan membantu industri dalam meningkatkan prestasi produk dan perkhidmatan menerusi analisis daripada simulasi pemodelan serta mewujudkan rangkaian baru bersama para penyelidik dari seluruh dunia bagi meningkatkan profesionalisme dan kredibiliti universiti.

“Saya juga yakin SMRI akan dapat membantu mempromosikan UiTM sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan serta pembuatan sekaligus mewujudkan persekitaran berkualiti tinggi untuk pembangunan dan demonstrasi proses dan teknologi baru pada skala perindustrian,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan ‘Simposium Kolabrasi Akademia-Industri: Pengalaman, Matlamat dan Dialog Teknikal’ di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof Ts Dr Mohamad Kamal Harun.

UiTM dalam kenyataannya memaklumkan penganjuran simposium berkenaan adalah sebagai platform kepada pihak universiti dan pemain industri, penyelidik dan pensyarah untuk berinteraksi secara terus dalam usaha menambah baik sektor industri di negara ini.

Pada majlis sama, UiTM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sembilan syarikat iaitu Intekma Engineering Sdn Bhd, Brightstar Oil Sdn Bhd, Amantronic Sdn Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, KDU University College, 3D Gens Sdn Bhd, Leigh Aerosystem (M) DNEX RFID Sdn Bhd dan ACEM EV System Sdn Bhd.

UiTM menyifatkan MoU itu sebagai peluang kerjasama antara pihak universiti dan industri dalam memberikan penyelesaian secara kreatif dan inovatif kepada permasalahan sektor berkenaan selain meningkatkan jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel