Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malindo Air guna perkhidmatan Cybersecurity bantu isu kebocoran data


Tarikh kemaskini: 25/09/2019





KUALA LUMPUR, 24 Sept  -- Malindo Air telah menggunakan khidmat kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam membantu syarikat itu mengatasi masalah kebocoran data melibatkan maklumat peribadi penumpangnya, kata Pengerusi CyberSecurity Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

“Malindo telah menggunakan khidmat CyberSecurity Malaysia untuk membantu, tetapi biarlah mereka buat siasatan mereka, kita tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa siasatan analitikal dan tanpa membuktikannya secara forensik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pameran Kerjaya Keselamatan Siber di sini hari ini.

Minggu lepas, Malindo Air memaklumkan mengenai kebocoran maklumat tersebut, selepas syarikat keselamatan siber berpusat di Moscow, Kaspersky Lab berkata dalam satu laporan mengenai maklumat kira-kira 30 juta penumpang Malindo dan sebuah lagi anak syarikat Lion Group, Thai Lion Air telah dimuat naik ke dalam satu forum dalam talian.

Semalam, syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata kebocoran maklumat tersebut telah dapat dibendung.

Hasil siasatan mendapati, dua bekas pekerja syarikat penyedia servis e-dagang, GoQuo (M) Sdn Bhd di pusat pembangunan mereka di India, telah melakukan salah laku dan mencuri data peribadi pelanggan mereka. Perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis di kedua-dua negara, Malaysia dan India.

Ketika ditanya mengenai apakah tindakan yang dilakukan selepas berlakunya kebocoran data, Mohd Azumi berkata, mereka yang terlibat boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ataupun pihak polis, kerana ada undang-undang berkaitan, membolehkan tindakan diambil terhadap pelakunya.

“CyberSecurity Malaysia hanya membantu dalam memberikan khidmat bantuan atas kepakaran yang kami ada,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel