Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan Lahad Datu minta pihak berkuasa wujudkan pangkalan di Tambisan


Tarikh kemaskini: 25/09/2019




LAHAD DATU, 25 Sept (Bernama) -- Bimbang dengan kekerapan kes penculikan di kawasan perairan timur Sabah sejak kebelakangan ini, Persatuan Nelayan Kawasan Lahad Datu menyarankan pihak berkuasa mewujudkan pangkalan di kawasan Tambisan, Tungku dekat sini.

Pengerusi persatuan nelayan itu, Eskin Barahim berkata pihak berkuasa sebagai contoh boleh membina pangkalan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan itu. 

"Ikut rekod Jun lepas, 10 nelayan diculik di perairan Tambisan, selepas itu insiden pasukan keselamatan tembak mati dua tali barut kepada kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) di Felda Sahabat 2 dan terkini, pada Isnin ada tiga lagi nelayan Indonesia diculik di perairan Tambisan.

"Memandangkan Tambisan ini pun berhampiran dengan sempadan selatan Filipina, kita perlu ada pangkalan seperti polis Marin, APMM atau TUDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), kalau ada pangkalan aset pun lebih banyak, pantas untuk kejar penculik, selain rondaan rutin kerana sempadan (Tambisan) ini luas," katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, dilaporkan tiga nelayan dari suku kaum Buton, Indonesia diculik pada 11.50 pagi di perairan Tambisan dan penculik dikatakan membawa mangsa menuju ke perairan Tawi-Tawi, Selatan Filipina.

Kawasan berkenaan dikatakan tidak mempunyai pos kawalan keselamatan.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali berkata perairan Tambisan berada di dalam radar untuk pembinaan Pusat Pemeriksaan di Laut (SCP).

Beliau berkata selain memantau kapal atau bot yang masuk, SCP juga menjadi ‘Forward Operation Base’ (FOB) dan sebagai pusat pengumpulan maklumat dan siap sedia rapid team.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel