Kelantan hargai keputusan kerajaan teruskan ECRL
Tarikh kemaskini: 25/09/2019

KOTA BHARU, 25 Sept (Bernama) -- Kelantan menghargai dan menyambut baik usaha serta pendirian kerajaan Persekutuan yang memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ketegasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek ECRL memberi impak yang besar dalam pelbagai sektor, kepada negeri Kelantan.
"Projek ECRL adalah projek kerajaan, jika mereka setuju meneruskannya, kita berbesar hati, menerima dan kita sokong.
"Pada pandangan kita ada potensi ekonomi yang baik daripada projek itu kerana ia akan memberi kesan limpahan kepada kawasan-kawasan berhampiran terutama di stesen-stesen yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan penempatan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Dr Mahathir sebelum ini menegaskan projek ECRL tetap diteruskan buat masa ini di sebalik dakwaan kononnya pada mulanya projek itu dibangunkan dengan hasrat menyelamatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mohd Amar berkata memang ada pelbagai pandangan yang diutarakan berhubung projek ECRL namun kerajaan negeri menyifatkan ia sebagai perkara biasa.
"Namun hakikatnya kita akan mendapat banyak manfaat jika projek itu diteruskan," katanya.
Dalam pada itu mengulas berhubung Belanjawan 2020, beliau mengharapkan kerajaan dapat meneruskan semua projek yang dicadangkan kerajaan Persekutuan kepada negeri ini terutama lima projek besar yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.
Katanya jika projek itu berjalan seperti yang dirancang ia akan memberi kesan ekonomi yang besar kepada Kelantan.
-- BERNAMA
|