Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Najib beri penuh kepercayan kepada jho Low - Saksi


Tarikh kemaskini: 25/09/2019





KUALA LUMPUR, 25 Sept  -- Seorang saksi penting memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kepercayaan penuh kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menguruskan isu-isu berkaitan projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd. (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, ini  kerana Jho Low adalah perancang dalam projek usahasama itu sejak dari awal.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga  merujuk kepada minit mesyuarat Pengerusi Lembaga Penasihat pada 16 Okt 2009 iaitu mesyuarat antara beliau  sebagai CEO dan Pengarah 1MDB merangkap Sekretariat Lembaga Penasihat 1MDB dengan Najib sebagai Pengerusi Tetap Lembaga Penasihat 1MDB (CBOA).

“Mesyuarat ini diaturkan oleh Jho Low selepas perbincangan saya dengan Jho Low di mana saya memaklumkan beliau tentang isu-isu yang ditimbulkan oleh BOD  (ahli lembaga pengarah) 1MDB mengenai usahasama (JV) dengan PSI tersebut dan arahan BOD kepada saya untuk taklimatkan kepada CBOA.

Pada mesyuarat ini saya telah memperincikan kepada Datuk Seri Najib isu-isu berkaitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan laporan-laporan terkini berkaitan perjalanan operasi syarikat. Saya juga melaporkan akan perkembangan terkini dan maklum balas daripada BOD mengenai usahasama dengan PSI terutamanya berkaitan dengan penilaian semula aset JVCo (usahasama 1MDB dan PSI)  yang diminta oleh BOD,” katanya

Beliau berkata Najib mengarahkan tidak perlu diadakan penilaian aset JVCo setelah mengambil kira faktor-faktor hubungan dua hala, kewangan dan reputasi negara.

Katanya, beliau percaya sebelum mesyuarat itu berlangsung, sudah ada perbincangan awal dan persetujuan antara Jho Low dengan Najib kerana semasa mesyuarat berlangsung, Najib tidak banyak persoalan dan selepas menyemak deraf minit beliau terus menandatangani dengan tiada pindaan.

“Pada pandangan saya, tujuan mesyuarat ini diadakan hanyalah untuk memutuskan arahan daripada Datuk Seri Najib dalam bentuk minit mesyuarat yang actionable oleh saya.

Saya juga mengambil maklum arahan dari Datuk Seri Najib yang JV ini adalah bersifat G to G  (antara kerajaan dengan kerajaan) dan amat penting dari segi politik kepada kedua-dua negara.

“Oleh itu juga, kerana Jho Low adalah perancang JV ini dari awal, saya mempercayai yang Datuk Seri Najib memberi penuh kepercayaan kepada Jho Low untuk menguruskan isu-isu berkaitan dengan PSI dan 1MDB,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA   

 

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel