Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selaraskan elaun COLA di seluruh negara - Ceupacs


Tarikh kemaskini: 25/09/2019





KUALA TERENGGANU, 25 Sept -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan menyemak kembali elaun Bantuan Kos Sara Hidup (COLA)  bagi penjawat awam bagi membantu golongan itu mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata elaun COLA juga perlu diselaraskan kerana ketika ini kadar yang diberi adalah berbeza mengikut lokasi.

"Bagaimanapun, jika elaun COLA ini diselaraskan, penjawat awam yang berada di bandar raya besar tidak akan menikmatinya kerana ketika ini kadar COLA tertinggi adalah di bandar raya besar.

"Jadi, Cuepacs berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya untuk terus membantu penjawat awam di beberapa bandar raya besar di negara ini yang mempunyai kos sara hidup terlalu tinggi seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Cuepacs negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Mengambil contoh senario Johor Bahru, Azih berkata kesan daripada pertumbuhan di Singapura turut memberi impak kepada kehidupan penduduk di sekitar bandar raya itu. 

"Contohnya harga pasar tani di sana antara yang paling mahal di seluruh negara. Rakyat Singapura belanja guna duit dia, mungkin tak rasa mahal...jadi kami berharap kerajaan akan memperkenalkan Elaun Kesusahan Bandaraya itu untuk penjawat awam di bandar raya tertentu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan dapat menyegerakan pelantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang sudah lama dibiarkan tidak terisi bagi melancarkan lagi urusan tadbir kerajaan.

"Kita berharap calon untuk mengisi jawatan ini mestilah datangnya dari Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berpengalaman luas, berintegriti dan mempunyai produktiviti yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel