Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ibu bapa sambut baik keputusan kerajaan bawa pelajar pulang


Tarikh kemaskini: 25/09/2019





SEPANG, 25 Sept -- Ibu bapa yang nyata bimbang tentang keadaan anak masing-masing yang menuntut di kawasan terjejas jerebu di Indonesia, menyifatkan keputusan kerajaan membawa pulang pelajar Malaysia di wilayah Riau dan Jambi sebagai tepat.

Nazri Abdul Rahman, 51, berkata beliau amat bimbang dengan keadaan anaknya Siti Shuzriani yang merupakan pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Syariah di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekan Baru, Riau.

"Masa dia kata IPU (Indeks Pencemaran Udara) dah 300-600, memang rasa risau. Kalau boleh nak suruh dia balik atau pergi ke tempat yang selamat tapi dia cakap kena tunggu keputusan kerajaan.

"Petang semalam dia cakap akan balik hari ini, memang rasa lega sangat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di sini hari ini untuk menyambut ketibaan anaknya. 

Siti Shuzriani adalah antara 31 pelajar dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim yang pulang ke tanah air dengan penerbangan AirAsia dan ketibaan mereka pada kira-kira 6 petang turut disambut Timbalan Ketua Setiausaha Perhubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri Datuk Amran Mohamed Zin.

Bagi Tengku Nor Badriah Tengku Muhiddin, 47, kepulangan anaknya, Putri Zarith Sofia Azmi, amat dinantikan kerana bimbang dengan keadaan di sana yang teruk.

"Waktu jerebu teruk di sana memang saya rasa risau sangat dengan keadaan dia di sana walaupun dia tiada mengadu apa-apa masalah. Saya juga setiap hari akan berhubung dengan dia dan nasihatkan jangan keluar rumah," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Tetap Persatuan Pelajar Malaysia di Indonesia, Nurul Huda Sofia Morsalin berkata walaupun sekarang berada di Malaysia untuk menyiapkan tugasan universiti, beliau sentiasa berhubung dengan pelajar-pelajar di sana melalui aplikasi Whatsapp.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Hukum Keluarga Islam di Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang, Jawa Timur itu berkata persatuan juga sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan bagi memastikan kebajikan pelajar di wilayah terjejas terjaga di samping menyampaikan maklumat terkini berhubung perkembangan jerebu melalui media sosial dan pelbagai platform.

"Pihak kedutaan besar Malaysia di sana sangat cekap menguruskan proses evakuasi pelajar dan kerajaan Indonesia juga memberikan kerjasama yang baik termasuk menangguhkan sesi kuliah," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel