Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa khas banteras kegiatan 'Ali Baba' di Pasar Borong Lama Selayang


Tarikh kemaskini: 26/09/2019





KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Berikutan semakin ramai warga asing dilihat memonopoli gerai-gerai di sekitar Pasar Borong Lama Selayang dengan kebanyakan mereka menyewanya daripada pemilik tempatan, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi membanteras kegiatan 'Ali Baba' itu. 

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen dalam menjalankan bancian di situ.

Sehingga kini terdapat lebih 500 penjaja dan peniaga di sekitar Pasar Borong Lama Selayang yang kini ditempatkan di kawasan sementara bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks pasar baharu, termasuk pusat penyembelihan ayam sejak 2018. 

"Sebelum ini DBKL memang ada membuat bancian tetapi hanya berdasarkan kepada pendaftaran peniaga secara dalam talian, jawatankuasa kami akan turun padang sendiri membuat bancian dan membuat perbandingan dengan bancian DBKL bagi mendapat jumlah yang lebih tepat. 

Selain dapat membanteras gerai-gerai haram, kami juga turut membantu DBKL dan Jabatan Imigresen mengenal pasti kegiatan 'Ali Baba' kerana berdasarkan tinjauan kami beberapa hari lepas, kegiatan itu  berleluasa dan sukar dikawal jika dibiarkan berterusan," katanya kepada Bernama selepas tinjauan mesra di Pasar Borong Lama Selayang, dekat sini hari ini. 

Kegiatan 'Ali Baba' ini harus dihentikan bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga tempatan B40 menjalankan perniagaan seterusnya membantu mereka menjana pendapatan sampingan. 

"Bancian itu akan dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk membanteras kegiatan itu kerana kegiatan rasuah terus berleluasa sehingga kini," katanya. 

Prabakaran berkata selain itu, pihaknya turut mahu DBKL membina satu lagi pusingan U bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas selepas kompleks pasar baharu itu siap menjelang tahun depan. 

"Sekarang ini sudah ada dua pusingan U di sepanjang Jalan Kuching, jika dibuka satu lagi pusingan U diharap masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan berikutan Jalan Kuching dan jalan di sekitar pasar borong itu turut akan dilebarkan," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel