Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Konstabel maut dilanggar lari, hajat 'bina masjid' tidak tercapai


Tarikh kemaskini: 26/09/2019





IPOH, 26 Sept -- Hasrat seorang konstabel polis untuk melangsungkan perkahwinan Februari depan tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Hala Pegoh 11, Desa Pakatan Lahat di sini, hari ini. 

Mangsa, Mohamad Riezal Izani Shakri, 24, yang bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Buntong di sini dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta pada jam 12.32 tengah hari. 

Rakan sebalai mangsa, Korperal Azmi Mahmud, 49, berkata, Allahyarham Mohamad Riezal Izani telah merancang untuk bercuti selama seminggu mulai esok bagi membeli kelengkapan perkahwinan. 

"Arwah seorang yang sangat baik, bukan sahaja dengan orang atasan malah rakan lain. Beliau juga seorang yang ringan tulang tak pernah berkira kerja serta sentiasa menunaikan solat bila sampai waktu. 

"Semalam kami bersembang dan sebelum balik kerja jam 2 pagi tadi dia sempat bertanya saya akan masuk kerja pukul berapa hari ini, tak sangka itu perbualan terakhir kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Jenazah Mohamad Riezal Izani akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kalai Batu Melintang, Jeli, Kelantan, namun waktu pengebumian belum diketahui. 

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohamad Nordin Abdullah, berkata, semasa kejadian mangsa sedang tugas dan sedang dalam perjalanan ke balai tempat bertugas. 

Katanya, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa dari arah Jalan Pegoh Seberang masuk ke Jalan Hala Pegoh 11 sebelum dilanggar sebuah kereta yang belum dikenal pasti nombor pendaftaran. 

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel