Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hasrat Yazit tunai umrah tidak kesampaian


Tarikh kemaskini: 26/09/2019





KUALA LUMPUR, 26 Sept -- Hasrat bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, untuk menunaikan ibadah umrah tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pagi tadi. 

Menurut anak bongsunya, Shafiqa Nurlis, 29, arwah ayahnya telah lama menyimpian impian untuk ke Tanah Suci tetapi terpaksa menangguhkannya atas faktor kesihatan. 

“Antara impian papa yang belum tercapai adalah mahu mengerjakan umrah. Kami rancang nak pergi bulan lepas, tapi keadaan kesihatan papa tidak mengizinkan. Saya ada cakap pada papa, dari segi duit boleh cari, namun apakan daya hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya. 

Allahyarham Yazit yang sebelum ini mengidap penyakit buah pinggang dan masalah kesihatan lain sejak 10 tahun lepas meninggal dunia pada jam 11.53 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur. 

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Sallehuddin Al Ayubbi Taman Melati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih, di sini, lewat petang ini.

Dalam pada itu, Safiqa turut berkongsi rasa syukur kerana sempat menunaikan permintaan arwah ayahnya untuk menikmati nasi ayam sebelum menghembuskan nafas akhirnya. 

“Hari Jumaat lepas dia ada cakap dengan saya dia kata, ‘adik, lepas ni papa tak nak masuk hospital, mungkin ni kali papa nak masuk hospital kerana sebelum ini dua minggu dia masuk ICU (Unit Rawatan Rapi).

“Kemudian dia kata nak rehat...nak makan nasi ayam itu, saya bawa dia pergi makan nasi ayam, sempat dia makan,” katanya. 

Allahyarham Yazit yang dilahirkan di Johor merupakan  pengasas dan anggota asal kumpulan rock lagenda Search sejak ditubuhkan pada 1981.

Dalam pada itu, mengulas pemergian Yazit, penyanyi rock terkenal dan vokalis kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie ketika ditemui mengakui terasa kehilangan seorang insan yang dianggapnya sebagai abang.

“Dialah antara yang paling rapat dengan saya dalam industri hiburan tanah air. Dia antara pencetus muzik rock di Malaysia. Saya sedih dengan pemergian dia tapi sekurang-kurangnya hati saya lega kerana dah lakukan yang sepatutnya untuk bantu dia ketika keadaannya berdepan masalah kesihatan,” katanya.

Selain itu, penyanyi dan komposer terkenal, Datuk Mohamad Nasir Mohamed atau M. Nasir memberitahu, Allahyarham Yazit merupakan seorang yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik.

“Bagi saya, saya melihat dia sebagai tulang belakang kepada kumpulan Search. Sampai hari-hari sakit dia, dia masih lagi datang dan jumpa saya, dan kita cerita pasal projek akan datang. Dia sentiasa berada dalam keadaan positif,” katanya.

Ramai penggiat seni yang hadir ke solat jenazah serta pengebumian Allahyarham Yazit antaranya Ameng Spring, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Nizam Laksamana, Man Bai, Awang BPR dan Bagio Damasutra.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel