Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanah runtuh :Pengarah projek mengaku tidak bersalah tuduhan pindaan


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





GEORGE TOWN, 27 Sept -- Seorang pengarah projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pindaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga menyebabkan tanah runtuh dan sembilan pekerja asing terkorban di tapak projek di Jalan Bukit Kukus Oktober lepas. 

Lai Sin Kian, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan insiden pada 1.50 tengah hari, 19 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan kes itu setelah peguam Lai, S. Kanesh memaklumkan satu representasi telah dikemukakan beliau kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Mahkamah itu turut menetapkan tarikh sama (4 Nov) bagi sebutan semula kes  Syarikat Yuta Maju Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor bagi projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus itu bagi menunggu keputusan representasi yang dikemukakan syarikat itu  pada 8 Ogos lalu.

Yuta Maju yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat, mengaku tidak bersalah pada 2 Julai lepas terhadap tiga pertuduhan, yang dalam pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan dalam pembinaan pada 8.30 malam, 11 Okt 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Yuta Maju yang didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada pukul 1.48 tengah hari, 19  Okt 2018 dan sembilan orang maut.

Kedua-dua pertuduhan ini dibaca mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Syarikat tersebut yang merupakan kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi projek itu turut menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 29(2) akta yang sama kerana gagal melantik seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel