Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ATM hormat keputusan AR Badul mohon inkues kematian Mejar Zahir


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





LUMUT, 27 Sept  -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati keputusan AR Badul yang mahu inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Mej Mohd Zahir Armaya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata permohonan itu merupakan hak peribadi pelakon serta pelawak veteran itu, Badul atau nama penuhnya, Armaya Aman Ramlie.

“Kita kena hormati apa sahaja yang beliau kehendaki, kita menunggu proses seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan acara Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-86 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’, perbarisan itu disertai 54 pegawai dan 868 anggota lain-lain pangkat serta melibatkan 12 kontinjen termasuk tiga kontinjen wanita daripada setiap perkhidmatan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.

Menjelas lanjut, Zulkifli berkata selepas kesemua urusan dan keputusan muktamad diperoleh, pihaknya akan memanggil keluarga Allahyarham Mohd Zahir untuk diberi penerangan terperinci.

“Kita kena tunggu apabila semua dah selesai. Kita bukan saja tidak maklum malah sentiasa berhubung dan lawatan dibuat hampir setiap hari kepada keluarga arwah,” katanya yang yakin TDM akan mengambil tindakan sewajarnya.

Semalam, Badul dan ahli keluarganya tidak berpuas hati dengan kronologi sebenar kematian anaknya itu dan mahu inkues dijalankan bagi mencari punca kematian pegawai komando tersebut.

TDM juga telah mengesahkan insiden kematian pegawai komando itu sebagai satu kemalangan dalam latihan dan keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya mahu kesemua anggota ATM sentiasa menjaga nama baik organisasi sebagai institusi terhormat terutama dengan ledakan teknologi komunikasi tanpa sempadan termasuk kemunculan media sosial.

“Saya khuatir, sekiranya tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan kritikan, tohmahan dan fitnah yang akan menggugat keyakinan rakyat dan akhirnya melemahkan ATM,” katanya.

Sempena Hari ATM ke-86, satu karnival turut berlangsung selama dua hari mulai esok di Pangkalan TLDM di sini dengan pelbagai acara menarik disediakan antaranya pertunjukan aset ketenteraan manakala masuk adalah percuma.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel