Ymh72baLn4A Keluarga Muhammad Adib lega, kini mahu pihak bertanggungjawab diadili
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga Muhammad Adib lega, kini mahu pihak bertanggungjawab diadili


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





ALOR SETAR, 27 Sept -- Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada tahun lepas, lega dengan keputusan inkues hari ini dan kini mahu pihak yang bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan.

Ibu Allahyarham, Asma Aziz, 52, berkata walaupun bersyukur dengan keputusan itu, dia tetap bersedih kerana individu yang menyebabkan kematian anaknya itu masih belum dapat ditangkap lagi.

“Walaupun lega dengan keputusan adil ini, anak saya tetap tiada. Jadi, saya harap individu yang terlibat dapat diheret ke mahkamah dan kalau boleh, saya mahu lihat muka individu yang memukul anak saya itu.

“Pasal hukuman, biarlah mengikut undang-undang tetapi yang penting individu yang menyebabkan kematian arwah dapat ditangkap,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, dekat sini hari ini.

Asma berkata, dia mengetahui tentang keputusan inkues itu hari ini menerusi ahli keluarganya selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian anaknya itu adalah akibat perbuatan jenayah.

“Sebaik dimaklumkan, saya dan suami (Mohd Kassim Abd Hamid) menangis dan alhamdulillah, doa kami sekeluarga dimakbulkan. Ini juga berkat doa daripada rakyat Malaysia yang tidak pernah putus memberi sokongan, jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua.

“Kalau diikutkan, kami memang mahu pergi mendengar keputusan hari ini tetapi disebabkan rasa takut dan perasaan yang bercampur kami tidak jadi pergi. Tapi selepas solat Jumaat hari ini kami akan pergi ke sana untuk berjumpa dengan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Mohd Kassim, 64, berkata dia bersyukur kerana walaupun berduka dengan kemalangan yang berlaku kepada anaknya, kegembiraan itu hadir juga selepas keputusan inkues memihak kepada keluarganya.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Mahamariamman USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Muhammad Adib yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel