Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPN selar kenyataan tidak bertanggungjawab kes tembakan di P.Pinang


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





ARAU, 27 Sept -- Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyelar tindakan individu yang membuat kenyataan tidak bertanggungjawab berhubung kejadian polis menembak mati seorang lelaki yang menetak dua rakan sekerjanya di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Walaupun tidak menamakan individu terbabit, beliau dipercayai merujuk kepada seorang pemimpin sebuah pertubuhan politik yang dilaporkan dalam satu ceramah menyifatkan kematian lelaki itu sebagai syahid.

Abdul Hamid berkata pihaknya mengambil berat kenyataan tersebut dan telah mengarahkan polis untuk membuka kertas siasatan dan akan memanggil pihak terbabit untuk diambil keterangan.

“Berhubung kes di Pulau Pinang, ada lagi orang yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan fatwa dia sendiri mensyahidkan orang tersebut. Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mengambil berat perkara ini sebab sekiranya apa yang dikatakan itu, orang itu mati syahid, jadi apa pula kedudukan anak buah saya yang telah menembak untuk menyelamatkan keadaan, apakah kedudukan pegawai-pegawai saya yang mengambil tindakan tersebut, kafir ke?” soal beliau pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Katanya, kenyataan seumpama itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana dikeluarkan mengikut kata hati sendiri tanpa memikirkan fakta sebenar dalam kejadian yang berlaku.

Abdul Hamid berkata pegawai dan anggota polis telah mengambil langkah itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada dan sekiranya tindakan tersebut tidak diambil ia berisiko menjadi tragedi yang lebih buruk.

“Saya sudah beritahu sebelum ini insiden tersebut tidak ada kena-mengena dengan perkara yang dikatakan itu. Individu tersebut sudah naik menjadi seorang yang ekstrem, pelampau dan radikal kerana taksub melihat video keganasan dalam sosial media,” katanya.

Abdul Hamid turut mengingatkan masyarakat khususnya ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak agar tidak terlalu menonton sebarang video keganasan di media sosial sehingga terpengaruh dan menjadi radikal.

Abdul Hamid sebelum ini telah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas dengan terus menahan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebar dan menularkan artikel mengenai kejadian itu yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

Beliau turut mengesahkan suspek tembak mati itu telah terpengaruh dengan klip video keganasan dari Timur Tengah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel