Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tumpahan Acetone: polis belum benar penduduk balik ke rumah


Tarikh kemaskini: 27/09/2019





BAGAN SERAI, 27 Sept -- Polis belum membenarkan empat keluarga yang diarah berpindah kerana rumah mereka berada dalam radius 100 meter dari lokasi tumpahan cecair kimia jenis 'Acetone' pulang ke kediaman masing-masing. 

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata arahan itu bertujuan memastikan kawasan di Kampung Parit Mentara 3 yang terjejas dengan insiden tersebut benar-benar selamat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini. 

Katanya kerja pembersihan atau menyahkimia kawasan sekitar oleh pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah selesai 90 peratus. 

“Saya harap penduduk dapat bersabar kerana kita tidak mahu timbul masalah baharu setelah penduduk dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi Rabu lalu, sebuah lori tangki dengan muatan 20,000 liter 'Acetone' terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan dan kenderaan itu hanya berjaya diangkat pukul 10.30 malam tadi sebelum ditunda keluar pagi ini. 

Selepas lebih 41 jam, penduduk sekitar menarik nafas lega kerana kebimbangan mereka terhadap sebarang kemungkinan termasuk pencemaran air dan risiko kebakaran sebelum ini, berakhir. 

Bagi seorang penduduk, Mustaza Mustafa, 42, pujian harus diberikan kepada semua pihak yang berkerja keras bagi memastikan lori tangki dapat diangkat dari parit.

“Kerja keras semua pihak yang tidak mengenal penat hingga ke malam untuk mengangkat lori membuahkan hasil walaupun terpaksa berhadapan dengan jalan sempit dan tanah yang lembut di sini,” katanya kepada Bernama di sini. 

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mentara 3, Halmi Omar berkata kejadian tersebut menyebabkan penduduk mengalami kesulitan untuk menggunakan jalan terlibat yang merupakan laluan utama ke sekolah dan tempat kerja.

“Penduduk kini lega kerana lori tangki telah dibawa keluar. Sekarang kita tunggu kebenaran daripada pihak berkuasa untuk semua yang diarah berpindah pulang ke rumah mereka,” katanya.

Tinjauan Bernama di Pusat Pemindahan Bencana yang dibuka oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Surau Ar-Rahman kampung tersebut mendapati, tiada mangsa tinggal di pusat itu, sebaliknya mereka memilih untuk menumpang di rumah saudara mara. 

Tinjauan juga mendapati hanya anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam masih bertugas di lokasi kejadian, manakala pihak bomba telah menamatkan operasi pukul 11.30 malam tadi. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel