Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hampir 30,000 kunjungi Karnival Hari Terbuka ATM


Tarikh kemaskini: 28/09/2019





LUMUT, 28 Sept  -- Hampir 30,000 pengunjung hadir hari pertama Karnival Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 yang julung kali diadakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di setakat tengah hari ini. 

Pelbagai aktiviti dan demonstrasi daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM diadakan pada karnival dua hari bermula hari ini bersempena Hari ATM ke-86.

Selain itu, terdapat 35 khemah pameran aset senjata daripada ketiga-tiga perkhidmatan dan 40 khemah menjual makanan serta cenderahati untuk pengunjung pada karnival tersebut.

Bertemakan Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada, karnival yang dirasmikan Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin itu menyasarkan lebih 70,000 pengunjung dari seluruh negara.

Turut hadir Panglima TDM Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Seorang warga emas, Rokiah Salleh, 63, yang menetap di Merbok, Kedah, berkata beliau sentiasa teruja untuk mengunjungi karnival berkaitan ketenteraan kerana baginya itu adalah salah satu cara untuk menghargai jasa anggota keselamatan negara. 

Rokiah yang berkerusi roda akibat strok ringan sejak beberapa tahun lalu berkata beliau tidak kisah berpanas malah teruja untuk melihat demonstrasi yang disediakan pada karnival itu.

“Saya baru sahaja datang pada bulan April lalu sempena Hari Terbuka TLDM. Kali ini memang berbeza dengan terdapatnya perkampungan TDM yang sebelum ini saya tidak pernah lihat setiap kali ke Hari Terbuka TLDM. Alhamdulillah saya rasa seronok sekali,” katanya ketika ditemui Bernama di karnival berkenaan.

Bagi Abdul Ghani Ahmad, 74, beliau yang pernah berkhidmat sebagai komando sebelum bersara pada tahun 1984 berkata masyarakat perlu mengunjungi karnival seumpama itu bagi mengenali warga ATM dengan lebih rapat lagi.

“Ini merupakan salah satu pendekatan untuk menjiwai dan memahami perjuangan anggota tentera negara. Kalau tiada mereka, apa yang akan jadi pada kita,” katanya yang merupakan seorang pelukis dari Gombak, Kuala Lumpur.

Ahmad Jufri Jazlin, 9, pula pastinya seronok dan teruja melihat ramai anggota tentera kerana jarang melihat mereka di kampungnya di Pasir Putih, Kelantan.

“Saya selalu tengok tentera di kaca televisyen. Kali ini ayah bawa saya ke sini, saya rasa seronok dan bercita-cita untuk jadi tentera udara satu hari nanti,” katanya yang datang bersama ibu bapa serta dua adik perempuannya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel