Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 500 sertai Larian Hari Jantung Sedunia 2019


Tarikh kemaskini: 28/09/2019




ALOR SETAR, 28 Sept -- Lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan peringkat umur dan masyarakat menyertai acara larian sempena Hari Jantung Sedunia 2019 peringkat negeri Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Acara larian sejauh lima kilometer yang bermula seawal 7.30 pagi itu dilepaskan Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail.

Dr Norhizan berkata acara larian itu merupakan satu daripada inisiatif untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Kedah tentang pentingnya menjaga kesihatan jantung berikutan jumlah kes berhubung penyakit jantung meningkat di negeri ini.

"Prosedur Angiogram yang dijalankan oleh HSB untuk pemeriksaan salur darah koronori tersumbat meningkat iaitu 1,259 kes bagi 2016; 1,362 kes (2017); 1,543 kes (2018) dan sebanyak 755 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Daripada bilangan yang menjalani pemeriksaan itu, seramai 629 pesakit telah menjalani rawatan intervensi jantung pada 2016; 736 pesakit (2017); 964 pesakit (2018) dan 321 pesakit untuk tempoh sehingga Jun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah Datuk Dr Ismail Salleh yang merasmikan sambutan itu dalam ucapannya berkata setiap individu perlu menjaga jantung mengikut kemampuan bagi mencapai tahap kecergasan yang baik.

"Kita juga perlu mendidik anak-anak sejak kecil untuk mengamalkan gaya hidup sihat termasuk cara pemakanan yang seimbang dan bernutrisi. Antara musuh utama yang menyebabkan penyakit jantung berleluasa adalah disebabkan oleh jenis pemakanan yang diambil seperti makanan segera.

"Ada pesakit yang mengalami serangan jantung pada usia 20-an. Semakin hari, ramai golongan muda yang dirawat untuk penyakit jantung dan ini sangat membimbangkan...ia perlu diatasi segera dengan cara mengubah cara pemakanan dan memperbanyakkan senaman," katanya.

Selain larian, program itu turut menyediakan aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan, zumba dan latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR). 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel