Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelulusan lesen kelab kebangsaan, AFC suntik semangat pasukan Kedah


Tarikh kemaskini: 28/09/2019





ALOR SETAR, 28 Sept -- Kelulusan permohonan lesen kelab kebangsaan yang diperoleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) serta layak menerima lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan menyuntik semangat pasukan Kedah, untuk meraih lebih banyak kejayaan pada musim 2020.

Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris berkata berita gembira itu tepat pada masanya, ketika skuad Lang Merah mengharungi suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu dengan PKNP FC di Stadium Darul Aman, malam esok.

"Ini memberikan suntikan motivasi bukan sahaja kepada pentadbiran KFA, namun juga buat pasukan Liga Super Kedah yang mendapat slot play-off AFC Champions League musim 2020, selepas menjuarai Piala FA pada 27 Julai lepas.

"Pasti pemain lebih bersemangat mengejar kejuaraan Piala Malaysia 2019, yang ketika ini beraksi di peringkat suku akhir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, mengumumkan sembilan pasukan bersaing dalam Liga Super serta tiga pasukan Liga Premier, lulus permohonan lesen kelab kebangsaan itu termasuk Kedah.

Sheikh Mohd Nasir dipetik sebagai berkata daripada sembilan pasukan tersebut, hanya enam yang layak menerima lesen kelab AFC iaitu JDT, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu.

Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah berkata kelayakan itu turut melegakan semua pihak, selepas Kedah terlepas beraksi Piala AFC tahun lalu sebagai juara Piala FA pada 2017.

Beliau berkata ia merupakan kali ketiga KFA mendapat kelulusan Perlesenan Kelab Peringkat Kebangsaan sejak musim 2018 dan kali kedua bagi Perlesenan Kelab AFC. 

Katanya Kedah terlepas beraksi Piala AFC musim 2018 selepas dimaklumkan saat akhir oleh badan 'Appeal Body' FAM yang KFA tidak berjaya mendapatkan lesen AFC hanya kerana aspek teknikal.

"Selepas ini dapatlah kita sama-sama menumpukan perhatian sepenuhnya dalam merebut kejuaraan Piala Malaysia 2019 dan pembentukan pasukan bagi musim 2020 bagi mengharungi Liga Super dan Play-Off AFC Champions League 2020," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel