Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada loji penapisan minyak di Segari - MB


Tarikh kemaskini: 28/09/2019





GOPENG, 28 Sept  -- Tiada sebarang projek Loji Penapisan Minyak akan dibangunkan di Segari, Lumut, seperti yang tular di laman Facebook, demikian tegas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. 

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri tidak pernah memberikan sebarang kelulusan terhadap projek sedemikian hingga mengundang kegusaran penduduk setempat. 

"Memang ada syarikat yang datang berikan cadangan untuk mengadakan industri loji penapisan minyak itu dan mereka kena buat penilaian alam sekitar, itu kita tidak halang. 

"Bila cadangan itu sampai kepada kerajaan negeri, kita akan perhalusi dan setakat sekarang tiada kelulusan (projek) itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan AgroFest Perak 2019 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini. 

AgroFest Perak 2019 berlangsung selama dua hari mulai hari ini dengan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan antaranya pertanian, perikanan dan agrotourism. 

Ahmad Faizal mengulas mengenai gesaan Pertubuhan Bukan Kerajaan dan penduduk Manjung di laman Facebook, supaya kerajaan negeri membatalkan projek itu yang dikhuatiri bukan sahaja bakal menjejaskan alam sekitar dan sumber pendapatan nelayan, malah mengakibatkan penyu tidak lagi mendarat di Segari. 

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau sama sekali tidak akan membenarkan sebarang projek yang merosakkan alam sekitar. 

"Saya pun suka tengok penyu, saya akan jadi (orang) yang pertama ‘block’ kalau ada yang nak rosakkan. 

"Rakyat di Segari atau Perak jangan cepat melompat tanpa maklumat,” kata Menteri Besar itu. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel