Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedah catat 48 kes keganasan rumah tangga daripada Jan-Ogos


Tarikh kemaskini: 29/09/2019




ALOR SETAR, 29 Sept -- Sebanyak 48 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di Kedah dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad.

Beliau berkata mengikut data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, kes tersebut melibatkan 47 kes keganasan terhadap wanita, manakala hanya satu kes terhadap lelaki.

"Pada 2018, JKM negeri menerima 78 kes keganasan rumah tangga yang melibatkan 74 wanita dan empat lelaki. Statistik yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan sebanyak 5,513 kes dicatatkan di seluruh negara pada 2017 dan 5,421 kes pada 2018.

"Di Malaysia, dianggarkan setiap hari seramai 10 wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan 60 peratus mangsa mengalami depresi teruk hingga cenderung untuk membunuh diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival 'Welfare@Superwomen' dan Program Jerayawara Advokasi Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 yang disertai 200 peserta di Auditorium Wisma Persekutuan Anak Bukit di sini, hari ini.

Halimaton Shaadiah berkata program taklimat itu yang merangkumi Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan) 2017, Proses Kerja Perintah Perlindungan Kecemasan, Tuntutan Hadhanah dan Komuniti Selamat Bersepadu itu, memberi pendedahan kepada semua pihak mengenai undang-undang keganasan rumah tangga.

"Selepas pindaan berkaitan keganasan rumah tangga diluluskan, pegawai JKM telah diberi kuasa untuk mengeluarkan Perintah Perlindungan Sementara (EPO) kepada mangsa keganasan rumah tangga. 

“EPO berfungsi untuk melindungi mangsa keganasan rumah tangga dalam tempoh singkat tanpa melalui prosedur mendapatkan laporan polis serta kebenaran mahkamah,” katanya.

Katanya pindaan itu dilakukan memandangkan terdapat peningkatan dalam kes keganasan rumah tangga dan ia bertujuan untuk mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa.

“Sekiranya ada pihak yang ingin menyalurkan aduan atau pertanyaan, mereka boleh menghubungi Talian Kasih di 15999," katanya.

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel