sy6Gg5IiVV0 Pulau Redang laksana kempen pembayaran tanpa tunai
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pulau Redang laksana kempen pembayaran tanpa tunai


Tarikh kemaskini: 30/09/2019




KUALA NERUS, 30 Sept -- Pulau Redang bakal menjadi pulau peranginan pertama di negara ini yang melaksanakan Kempen Pembayaran Tanpa Tunai MyDebit di semua premis perniagaannya pada 2020.

Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu, Adlis Khairil Sazli Mohd Zaini berkata perkhidmatan itu akan melonjakkan lagi sektor pelancongan di pulau tersebut kerana trend ketika ini menyaksikan lebih ramai pelancong selesa membeli belah tanpa menggunakan transaksi wang tunai.

Ketika ini, 63 daripada 86 peniaga telah menyertai perkhidmatan pembayaran tanpa tunai menerusi terminal tempat jualan (POS) dan kad ATM MyDebit di samping aplikasi QR Pay Maybank hasil usaha Bank Negara Malaysia sejak Okt tahun lalu.

"Sebelum ini, pelancong dan penduduk Pulau Redang berdepan sedikit kesukaran apabila kekurangan wang tunai, namun dengan kemudahan ini, ia bukanlah satu masalah lagi dalam urusan harian di pulau tersebut.

"Kami akan meningkatkan infrastruktur kemudahan ini agar lebih ramai peniaga menyertai kempen ini pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran hak milik tanah kepada 105 peserta rancangan penempatan semula Pulau Redang yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang di sini hari ini. 

Sementara itu, seorang peniaga restoran, Che Zalwani Che Hasan, 46, berkata beliau mula menggunakan perkhidmatan tanpa tunai itu sejak Okt tahun lepas sebagai usaha menarik lebih ramai pelanggan ke restorannya.

"Pada mulanya, memang saya enggan kerana kurang memahami manfaat yang bakal diperolehi, namun setelah mengikuti taklimat Bank Negara Malaysia, baru lah saya faham dan mahu menyediakan perkhidmatan ini di restoran.

"Lebih menarik apabila peniaga yang telah memasang terminal POS di kedai turut menerima insentif wang tunai RM500 daripada PayNet," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel