Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tonto guna warga emas hidu operasi pihak berkuasa di sempadan


Tarikh kemaskini: 30/09/2019




PASIR MAS, 30 Sept -- Kewujudan golongan tonto yang sentiasa mengawasi gerak geri pihak berkuasa menyebabkan banyak operasi membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand sentiasa terganggu, kata Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Supt Azhari Nusi.

Menurutnya apa yang menyedihkan kumpulan penyeludup turut menggunakan golongan warga emas, wanita malah remaja sebagai "mata-mata" mereka untuk mengawasi pergerakan pihak berkuasa.

"Hasil siasatan kami penyeludup sanggup membelanjakan wang dengan memberi upah kepada mereka yang berani menjadi mata-mata kepada penyeludup.

Golongan ini akan bertindak memberi amaran kepada ketua mereka menggunakan kecanggihan teknologi telefon bimbit yang ada sekarang. Tonto ini adakalanya sanggup berada di hadapan markas kami semata-mata untuk memberikan amaran sekiranya melihat pasukan kami keluar melakukan rondaan atau operasi," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol di sini, hari ini.

Azhari berkata selain penggunaan tonto, penyeludup juga sentiasa mengubah taktik kegiatan mereka termasuk ketika melalui jalan pintas atau laluan tikus untuk membawa barangan seludup.

"Keadaan ini membimbangkan kami kerana ia biasanya didalangi masyarakat sekitar sempadan namun kita akan terus memantau bagi memastikan segala taktik mereka dapat dilumpuhkan.

Kita percaya bilangan tonto ini agak ramai namun kita akan menggunakan pelbagai cara bagi mengatasi dan yakin dengan kredibiliti anggota yang yang bertugas," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azhari berkata PGA7 berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 76,000 batang rokok bernilai RM114,000 di Pangkalan Haram Tualang dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, pukul 5.45 pagi tadi.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan beberapa lelaki yang sedang memunggah kotak bertindak melarikan diri dengan menggunakan bot ke Thailand sebaik menyedari kehadiran pasukan PGA7.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan pangkalan haram itu menemui tujuh kotak yang diisi dengan 380 karton rokok. Kesemua barangan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan dan siasatan lanjut dilakukan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhari berkata, PGA7 turut merampas mercun seludup bernilai RM26,420 di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas di sini, Khamis lepas.

Menurutnya, sepanjang tempoh penugasan Ops Wawasan selama 15 hari bermula 15 September lepas, PGA7 berjaya mencatatkan 47 kes rampasan dan tangkapan mencecah hampir RM1 juta.    

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel