Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Mersing siap sedia hadapi bekalan air berjadual


Tarikh kemaskini: 30/09/2019




MERSING, 30 Sept  -- Rata-rata penduduk di kawasan Mersing mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan air sebagai persiapan bagi menghadapi Bekalan Air Berjadual (BAB) di sebahagian daerah ini tidak lama lagi.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula mengambil inisiatif dengan menyimpan air bagi memastikan mereka mempunyai simpanan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan harian yang mana kali pertama dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Peneroka Latifah Talib, 59, dari Felda Endau dekat sini, berkata pelaksanaan BAB adalah kali pertama yang akan beliau hadapi sepanjang menetap di kawasan itu kira-kira 40 tahun lepas.

"Selalunya kalau takde air pun dalam sehari je, itu pun untuk cuci loji. Tapi kali ini, agak sukar,  memandangkan dah dapat jadual sejak minggu lepas yang memaklumkan dua hari tiada air, sehari ada air bagi tempoh sebulan," katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Latifah mengambil langkah awal dengan membeli beberapa tong besar untuk menyimpan air bagi kegunaan harian dan air mineral sebagai bekalan air minuman.

"Makcik juga ada usahakan tanaman secara kecil-kecilan, jadi kenalah simpan air lebih untuk menyiram tanaman. Bagaimanapun, makcik bersyukur sebab dapat makluman awal, sekurang-kurangnya kita dapatlah buat persediaan," kata ibu kepada tujuh cahaya mata itu.

Seorang pembantu pejabat Mohamad Azizi Zainal, 22, dari Kampung Triang Besar di sini berkata, dia sekeluarga telah melakukan persiapan awal dan mula menadah air dalam tong besar bagi menampung keperluan harian.

"Kami tak mahu kelam kabut nanti lebih-lebih lagi ayah saya Zainal Abdul Jamal, 48, juga ada mengusahakan tanaman, jadi penting bagi kami memastikan stok bekalan air bersih cukup untuk kegunaan harian termasuk minuman dan tanaman.

"Bagaimanapun, memang sangat merisaukan jika air tadahan yang disimpan tidak cukup, sedikit sebanyak pasti menjejaskan kehidupan kami sekeluarga yang mana adik masih bersekolah dan ibu Zailani Mohamad, 44, pula menghidap angin ahmar," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Seorang penjawat awam Asyiedha Ranee, 34, dari Kampung Semaloi pula berkata, dia sekeluarga telah mula menadah air sejak malam tadi selain membeli berbotol-botol air mineral bersaiz besar.

"Selalunya kita baca mengenai kawasan di tempat dan negeri lain yang menghadapi masalah bekalan air. Namun kali ini, kami pula yang terpaksa menghadapinya terutama bila melihat kawasan sawah padi di sekitar kering-kontang.

"Pada masa sama, kita berharap hujan akan berterusan sekali gus paras air di empangan meningkat di samping mengadakan solat sunat istisqa'," katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan sebagai berkata, Bekalan Air Berjadual (BAB) dijangka dilaksanakan di sebahagian daripada kawasan Mersing tidak lama lagi berikutan paras air di Empangan Labong yang menunjukkan bacaan paras henti loji.

BAB itu akan melibatkan 4,987 akaun dengan 25,000 pengguna.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel