Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Taja haiwan Zoo Melaka menerusi program Zoobilation


Tarikh kemaskini: 30/09/2019





MELAKA, 30 Sept -- Zoo Melaka mempelawa syarikat swasta, badan kerajaan dan individu seluruh negara menyertai program Zoobilation bagi usaha pengumpulan dana menerusi tajaan awam untuk pameran dan program konservasi haiwan di zoo tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim berkata sebanyak 51 pameran haiwan dibuka untuk tajaan program terbabit selain ia akan menjadi acara tahunan Zoo Melaka dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangannya.

Menurutnya, nilai tajaan untuk setiap haiwan berkenaan ialah minimum RM20,000 sehingga RM2 juta bagi gajah Asia dengan tempoh selama 12 hingga 60 bulan untuk program konservasi haiwan tersebut termasuk kemudahan dan makanan haiwan tersebut.

“Antara haiwan tersebut ialah Harimau Malaya, ular sawa, Tapir Malaya, kuda belang, buaya, badak sumbu, singa Afrika, kancil, ziradah, badak dan pelbagai lagi spesis haiwan.

“Penaja mendapat hak eksklusif untuk meletakkan jenama mereka dan berhak menamakan haiwan pada pameran haiwan tersebut selain mendapat pelepasan cukai pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas program Hi-Tea Media bersama Yang Dipertua MPHTJ, di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Setiausaha MPHTJ, Afzai Nizam Sandiman.

Mohd Rafee berkata sejak hampir setahun Zoo Melaka diuruskan Jabatan Zoo MPHTJ, jumlah pengunjung yang hadir ke situ menunjukkan angka memberansangkan iaitu 400,000 orang dan pihaknya optimis sasaran 700,000 pengunjung mampu dicapai hingga akhir tahun ini.

Katanya, pelbagai perancangan dan penambahbaikan akan dilakukan berterusan antaranya membawa masuk lebih lima spesis haiwan baharu melalui program pertukaran bersama rakan strategik antaranya dengan Batu Secret Zoo, Surabaya Indonesia dan sebagainya.

“Baru-baru ini, pihak Zoo Melaka juga membawa masuk ikon terbaharu iaitu seekor Harimau Putih Betina baka India dikenali ‘Elsa’ yang menjadi tarikan pengunjung.

“Pada Oktober ini kita akan mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Zoo Surabaya bagi mendapatkan seekor harimau putih jantan untuk pembiakan bagi menjamin kesinambungan bakanya,” kata beliau.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel