Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nafuzi serah masa depan sebagai jurulatih kepada PBSNT


Tarikh kemaskini: 01/10/2019




KUALA TERENGGANU, 1 Okt (Bernama) -- Pemangku jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menyerahkan kepada pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menentukan kedudukannya dalam skuad itu musim depan.

Nafuzi berkata setakat ini tiada perbincangan mengenai jawatan itu dibuat selepas misi TFC untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia terbantut pada peringkat suku akhir Sabtu lepas.

"Setakat ini tidak ada apa-apa perkembangan lagi berhubung perkara itu kerana kami baru sahaja selesai perlawanan suku akhir dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu lalu.

"Lagipun saya sibuk dengan persiapan untuk ke Jepun bagi mendapatkan lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memenuhi syarat wajib sebagai jurulatih yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Masa depan saya bersama TFC saya serah sepenuhnya kepada PBSNT dan terbuka untuk terima apa sahaja keputusan yang baik untuk semua pihak," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Nafuzi yang pernah membantu skuad Penyu menjulang Piala Malaysia pada 2001 berkata sekiranya diberikan peluang, beliau mahu terus kekal membimbing pasukan itu mengharungi cabaran Liga Malaysia musim depan.

Sambil menyifatkan Terengganu sebagai rumah kedua selepas Kelantan yang menjadi tempat kelahirannya, bekas pemain kebangsaan itu menaruh harapan tinggi untuk terus bersama TFC yang sudah dianggap sebagai anggota keluarga.

Nafuzi memulakan karier di arena sukan bola sepak Terengganu sebagai jurulatih skuad Piala Presiden pada 2016 sebelum dilantik sebagai pembantu kepada bekas ketua jurulatih TFC Irfan Bakti Abu Salim pada 2017 dan seterusnya pada 2018 yang menyaksikan Terengganu muncul sebagai naib juara Piala Malaysia.

Beliau kemudiannya diberi amanah untuk menggalas tugas sebagai pemangku jurulatih skuad Penyu bermula 16 Mei lalu selepas bekas ketua jurulatih, Irfan Bakti meletak jawatan secara tiba-tiba disebabkan prestasi buruk pasukan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel