Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JKKN dokumentasi seni warisan tanpa pewaris


Tarikh kemaskini: 01/10/2019




MELAKA, 1 Okt -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sedang giat  mengerakkan usaha mendokumentasi seni warisan dan budaya yang kian pupus akibat kekurangan atau tiadanya pewaris meneruskan legasi warisan itu.

Penolong Pengarah Cawangan Pendidikan dan Pembangunan JKKN Nur Azura Baharudin berkata  projek berkenaan dilaksanakan di 14 negeri seluruh negara sejak April lepas sehingga bulan ini bagi menghasilkan bahan terbitan dan rujukan sahih untuk warisan serta tatapan generasi akan datang.

Beliau berkata penyelidikkan setiap negeri melibatkan warisan berbeza seperti Kedah makanan tradisional iaitu Kuih Bunga Pudak; Negeri Sembilan melibatkan Puisi Bersandoi; Kelantan (Gendang Kecapi Buluh); Perlis (muzik Benduan) dan kini JKKN sedang mendokumentasikan Puisi Rejang di Melaka.

"JKKN negeri akan membuat satu projek penyelidikan dan dokumentasi berdasarkan lima kategori iaitu adat resam, makanan tradisional, permainan tradisional, bahasa dan seni persembahan.

"Kebanyakkan warisan budaya berkenaan tidak lagi diwarisi anak-anak atau komuniti mahu pun satu-satunya pengamal dan penggiatnya semakin lanjut usia ada di kalangan mereka yang berumur 80-an menyebabkan ia semakin hilang dan dilupakan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nur Azura berkata sebelum ini usaha berkenaan tidak dilakukan secara menyeluruh kerana kekangan bajet namun tahun ini projek itu diperkasakan supaya terbitan dalam bentuk penulisan tepat dan rakaman daripada sumber asal dapat dihasilkan bagi rujukan masa depan.

Katanya projek dokumentasi warisan seni dan budaya itu akan dibentang dan dikumpulkan seterusnya diedarkan di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, sekolah dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Budaya dan warisan bangsa adalah sesuatu yang signifikan dan khazanah berharga merangkumi aspek amalan, tradisi dan peninggalan zaman berzaman yang mempunyai nilai tinggi peninggalan nenek moyang.

"Usaha merekodkan budaya bangsa ini termasuk dokumen dan peninggalan bertulis supaya ia dapat disimpan dan dipelihara dengan kaedah betul kerana ia adalah sesuatu yang amat berharga," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel