Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Sabah beri tumpuan pembangunan pelabuhan air dalam Kudat


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KOTA KINABALU, 1 Okt -- Kerajaan negeri Sabah akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelabuhan air dalam di Kudat sebagai sebahagian daripada rancangan merancakkan kawasan utara Sabah dan mewujudkan pusat strategik lain bagi perdagangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan bercadang menjadikan Kudat sebagai  pusat tumpuan bagi akuakultur dan pertanian menerusi perdagangan langsung dengan China, Vietnam, Indonesia dan Hong Kong.

Beliau berkata Sabah menerima manfaat daripada rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur.

“Sabah dan Sarawak akan menikmati kepentingan strategik yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Peluang kepada perniagaan berpangkalan di Sabah untuk berkembang dan bergabung dengan mereka di daerah pedalaman juga dijangka berlaku.

“Rangkaian Lebuhraya Pan Borneo akan mempercepatkan lagi usaha tersebut dan menghubungkan kita dengan bandar yang lebih pesat dari segi ekonomi,“ katanya semasa berucap pada perasmian Forum Pelabuhan Sabah Kedua di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar dan Pengerusi Suria Capital Holdings Bhd (Suria Capital) dan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) Tan Sri Ibrahim Menudin.

Forum dua hari anjuran Suria Capital dan SPSB bertemakan “Membina Masa Depan Baharu: Mencungkil Potensi Maritim Sabah” antara lain membincangkan isu-isu pembangunan logistik dan kesalinghubungan di Sabah termasuk perdagangan rentas sempadan, zon perdagangan bebas dan memaksimumkan potensi pelaburan di sektor-sektor berkenaan.

Mohd Shafie berkata walaupun terlalu awal untuk menilai kesan sebenar daripada pembangunan itu, perniagaan di peringkat domestik harus mempunyai perancangan dan mengambil kesempatan daripada limpahan pembangunan yang dijangka berlaku.

“Untuk menjadi negara yang mencatat pencapaian tinggi, kerjasama dan pemudahan antara agensi kerajaan dan entiti perniagaan perlu disemai untuk hubungan pekerjaan yang optimum,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan bagi memperkukuh industri logistik Sabah dan sokongan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pembangunan kapasiti logistik.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapannya berkata Suria Capital dan SPSB menyediakan perkhidmatan pelabuhan yang mampan di Sabah dan setakat ini memberi penjimatan kos infrastruktur pelabuhan kira-kira RM10 bilion kepada kerajaan negeri sejak penswastaan pelabuhan itu pada 2004.

"Suria Capital telah menyumbang aliran pendapatan yang stabil kepada kerajaan negeri melalui kaedah dividen dan bayaran pajakan.

“Di masa depan, kami akan meneruskan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan pelabuhan dan infrastruktur yang cekap, sejajar dengan agenda pembangunan sosioekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel