Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jangan terikut budaya tidak hormat lagu kebangsaan - Abdul Karim


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUCHING, 1 Okt  -- Rakyat di negeri ini diseru supaya menghormati lagu Negaraku dan tidak terikut dengan perbuatan ‘sengaja’ enggan berdiri seperti mana rakaman video tular di satu majlis yang diadakan di sini. 

Malah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perbuatan sedemikian harus ditolak.

"Kalau tidak senang dengan kerajaan bukan dengan cara tidak menghormati bendera dan lagu kebangsaan kita.Pemimpin kita (Sarawak) dahulu telah setuju menubuhkan Malaysia pada 1963, tiada bendera Malaysia dan lagu Negaraku sebelum 1963, maknanya pada 1963 kita sebahagian daripada bendera dan lagu kebangsaan negara ini,"katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan penyerahan Anugerah Emas yang dimenangi Lembaga Pelancongan Sarawak di Anugerah Pasific Asia Travel Association (PATA) 2019, Kazakhtan, 19 Sept lepas bagi kategori Media Pemasaran-Video Perjalanan.

Beliau mengulas video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu dipercayai ahli atau penyokong Sarawak for Sarawakians (S4S) yang hanya duduk ketika Lagu Kebangsaan berkumandang pada satu majlis di sini, baharu-baharu ini.

Ini didakwa dilakukan kumpulan individu terbabit sebagai menunjukkan bantahan mereka kepada kerajaan berkaitan kemelut isu pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri ini.

Abdul Karim berkata kumpulan indvidu terbabit tidak boleh menjadikan rasa kurang senang mereka dengan kerajaan sebagai alasan untuk melakukan perbuatan itu kerana lagu kebangsaan adalah perkara berlainan yang tidak boleh dipolitikkan.

"Harapan saya mereka ( kumpulan individu) ini bertaubatlah dan mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana menunjukkan mereka tidak menghormati lagu kebangsaan kita,"katanya yang menyifatkan perbuatan itu sebagai amat bertentangan budaya rakyat negeri ini yang amat menghormati lagu kebangsaan.

Beliau juga secara peribadi merasakan hukuman lebih berat termasuk penjara bertahun perlu dikenakan kepada kumpulan individu itu dibawah Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan bukan sekadar denda RM100.

-- BERNAMA.


 

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel