Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pimpinan baharu PKR johor mahu tumpu kukuhkan parti, hadapi PRK Tanjung Piai


Tarikh kemaskini: 01/10/2019




JOHOR BAHRU, 1 Okt -- Sehari selepas pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh hari ini berjanji untuk menumpukan usaha mengukuhkan parti.

Beliau juga menyatakan akan memberi fokus kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai agar kerusi itu terus menjadi milik Pakatan Harapan (PH). 

“Untuk masa terdekat ini, kita akan tumpukan kepada mengukuhkan parti dan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai supaya kerusi tersebut akan kekal milik PH.

“Saya memberi jaminan akan meneruskan agenda reformasi dan pembelaan rakyat di peringkat negeri dan pusat. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau juga berharap agar sokongan daripada semua pihak terutama anggota PKR dan PH Johor terus dapat dimantapkan demi memastikan tampuk pemerintahan kerajaan negeri sedia ada dapat dikekalkan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Untuk itu, Syed Ibrahim turut mengajak semua anggota supaya bersama-sama membina PKR Johor yang lebih inklusif, sebagaimana yang dihasratkan oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan akar umbi, selain berganding bahu menghadapi segala cabaran di masa hadapan dengan semangat muafakat.

Berkenaan pelantikannya, Ahli Parlimen Ledang itu menzahirkan ucapan penghargaan kepada Anwar dan semua ketua-ketua Cabang Johor kerana telah memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk mengemudi parti di peringkat negeri.

“Terima kasih juga kepada Hassan Karim sebagai bekas pengerusi dan Jimmy Puah Wee Tse sebagai pemangku di atas sumbangan yang telah diberikan kepada parti dan rakyat selama tempoh jawatan mereka.

“Saya percaya pengalaman mereka amat berharga dan wajar digarap bersama. Tahniah juga saya ucapkan kerana berjaya meletakkan asas yang cukup baik untuk kita bergerak ke hadapan dengan lebih progresif selaras dengan agenda reformasi yang kita perjuangkan,” katanya.

Pelantikan Syed Ibrahim bagi menggantikan Hassan Karim yang telah meletakkan jawatan Julai lepas.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan berkata Syed Ibrahim dipilih melalui undian dalam kalangan ketua cabang PKR Johor dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel