Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengecualian cukai pendapatan bagi pelaburan dalam firma modal teroka diwartakan akhir 2019


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





?KUALA LUMPUR, 1 Okt  -- Pengecualian cukai pendapatan RM20 juta yang dicadangkan dalam Belanjawan 2018 bagi pelaburan di dalam syarikat modal teroka akan diwartakan menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata menerusi pengecualian cukai itu, kerajaan mahu memberi insentif kepada pelaburan swasta dalam modal teroka.

“Menerusi pelaburan swasta dalam modal teroka, akses pasaran akan menjadi lebih besar, lebih banyak kepakaran dan rangkaian lebih baik diperlukan untuk mengembangkan dan memastikan tahap pencapaian syarikat pemula niaga kita meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Scaleup Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata insentif itu boleh dituntut bagi pelaburan yang dibuat sehingga 2023 dengan tempoh insentif bermula pada peringkat pertama pensijilan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Syarikat modal teroka dan dana modal teroka adalah di bawah SC.

Ketika ditanya mengenai insentif baharu untuk syarikat pemula niaga dalam Belanjawan 2020, Yeo berkata: “menteri kewangan telah berkata kerajaan akan memberi (insentif) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Jadi, ia mungkin untuk semua PKS, termasuk syarikat pemula niaga.”

Sementara itu beliau berkata mengikut dasar baharu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), lebih 50 peratus dana penyelidikan dan pembangunan akan disalurkan kepada penyelidikan yang mempunyai kerjasama dengan industri.

“Jadi, sekiranya anda pihak universiti atau kolej yang mahu memohon dana penyelidikan dan pembangunan kementerian ini, anda perlu mempunyai kerjasama dengan PKS atau syarikat untuk layak memperolehi dana tersebut,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai dana itu boleh didapati di edana.mestecc.gov.my.

Beliau berkata MESTECC mempunyai dua jenis dana penyelidikan dan pembangunan selain satu dana kerjasama antarabangsa (syarikat yang telah mempunyai pendanaan antarabangsa serta penyelidikan dan pembangunan berkualiti tinggi untuk memberi kesan positif kepada pasaran).

Sementara itu Scaleup Malaysia, yang berperanan sebagai platform, hari ini mengumumkan permohonan bagi program pemecut kohort pertama kini dibuka.

Menerusi program itu, ia menyasar bagi memajukan dan membimbing 50 syarikat peringkat awal untuk berkembang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Hanya 10 syarikat yang berpotensi meningkatkan skala di peringkat rantau dan berkembang sehingga bernilai sekurang-kurangnya RM100 juta sahaja akan dipilih daripada setiap kohort -- jumlah keseluruhan kohort adalah lima.

Peserta akan menerima pelaburan RM200,000 untuk meningkatkan perolehan dan pelan pertumbuhan mereka.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel