Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia miliki kebolehupayaan harungi kejutan ekonomi - Zeti


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUALA LUMPUR, 1 Okt  -- Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yakin ekonomi Malaysia mempunyai kebolehupayaan untuk mengharungi sebarang krisis berpotensi.

Beliau berkata negara ini melaksanakan sistem yang berdaya tahan dan berupaya menahan kejutan ekonomi.

“Kita bersedia menguruskan kesan (krisis) berkenaan…halangan mungkin berlaku namun kita berpotensi menanganinya dan meningkat semula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Sarjana Perbankan Pusat, Asia School of Business (ASB), di sini, hari ini.

Zeti, yang kini pengerusi Permodalan Nasional Bhd, berkata bank-bank pusat akan berperanan penting untuk menyokong ekonomi sekiranya krisis ekonomi berlaku.

“Situasi seperti inilah yang menjadikan bank-bank pusat sebagai institusi penting.

“Mereka berada di peringkat hadapan dan oleh itu bank-bank pusat perlu mempunyai kebolehupayaan yang kukuh (untuk menguruskan ekonomi semasa tempoh krisis),” katanya.

Mengenai program Sarjana itu, beliau berkata ia akan melengkapkan pegawai bank pusat berpotensi tinggi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran persekitaran ekonomi dan politik yang kompleks.

Beliau berkata program residensi setahun secara intensif ini ditawarkan dengan kerjasama MIT Sloan School of Management.

“Program ini sedang dinilai oleh Kementerian Pendidikan, dan disasarkan bermula pada pertengahan 2020, dengan peserta sulung dari bank-bank pusat seluruh dunia,” katanya.

ASB ditubuhkan pada 2015 dengan kerjasama MIT Sloan School of Management di Massachusettes, Amerika Syarikat untuk menjadi sekolah perniagaan global utama iaitu sebuah hab pengetahuan dan pembelajaran yang diterapkan dengan kepakaran serantau, wawasan serta perspektif  Asia dan ekonomi pesat membangun.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel