Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lebih 2,000 banduan berisiko tinggi, 116 tahanan radikal di penjara


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KAJANG, 1 Okt  -- Lebih 2,000 banduan berisiko tinggi dan 116 tahanan radikal sedang menjalani hukuman di semua institusi penjara ketika ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata kesemua mereka diwajibkan mengikuti Program Pembangunan Insan yang dikendalikan pegawai penjara terlatih.

“Program pemulihan dan pengintegrasian banduan dan tahanan radikal di penjara dilaksanakan bermula hari pertama ditahan sehingga dibebaskan dengan menggunakan pendekatan berhemah dan diplomatik dalam mengubah ideologi,” katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kolokium dan Bengkel Mencegah/Menentang Keganasan melampau dan Radikalisme di Penjara di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak penjara turut melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pengkategorian dan pengasingan penempatan dalam usaha memulihkan banduan serta tahanan radikal itu.

“Banduan atau tahanan radikal dikategorikan kepada tiga iaitu maksimum, medium dan minimum.

“Pengkategorian ini berasaskan beberapa faktor seperti maklumat penglibatan dari Polis Diraja Malaysia, fakta kes, laporan risikan dan tahap agresif banduan,” katanya.

Zulkifli berkata ujian psikologi akan dilaksanakan kepada banduan atau tahanan untuk menentukan tahap kesediaan mereka bagi mengikuti program pemulihan.

“Bagi tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA), penilaian terhadap pencapaian dalam program pemulihan dilakukan secara bersama tiga agensi iaitu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia,” katanya. 

Kolokium dan bengkel selama tiga hari bermula hari ini dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel