Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pekerja, majikan perlu manfaat baucar kesihatan Perkeso


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





TAWAU, 1 Okt  -- Majikan dan pekerja di daerah ini perlu memberi perhatian kepada kepentingan pemeriksaan kesihatan dengan memanfaatkan baucar saringan kesihatan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengurus Perkeso Tawau, Joseph Immanuel berkata ramai dalam kalangan pekerja hari ini masih tidak menitikberatkan aspek pemeriksaan kesihatan dan menganggap diri sebagai tidak mempunyai penyakit sehinggalah penyakit itu menjadi kronik.

"Ini antara cabaran Perkeso untuk memberi kesedaran kepada majikan dan pekerja.

Berdasarkan statistik penerima pencen ilat di Tawau, merekodkan seramai 743 penerima dengan penerima paling ramai merupakan pesakit kanser dan strok," katanya pada  sambutan Hari Perkeso peringkat daerah di sini, hari ini.

Menurut Joseph, Perkeso mengedarkan baucar saringan kesihatan melalui majikan kepada semua pekerja yang layak iaitu pencarum berumur 40 tahun dan ke atas, untuk dikemukakan ke klinik panel yang mendaftar untuk program berkenaan.

"Saringan kesihatan yang dilaksanakan di bawah Program Saringan Kesihatan Perkeso, merangkumi pemeriksaan fizikal, ujian makmal untuk darah dan urin, pemeriksaan pap smear dan mamogram untuk pencarum wanita serta konsultasi dan khidmat nasihat kepada pencarum Perkeso," katanya.

Di Tawau, terdapat 7,245 majikan aktif mencarum Perkeso dengan membabitkan lebih 70,000 pekerja.

Manakala sebanyak 1,924 pencarum aktif terdiri daripada pemandu teksi dan Grab bagi kategori Skim Pekerjaan Sendiri.

Dalam pada itu, turut hadir pada majlis itu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jimmy Wong yang turut mahu semua pekerja layak menerima baucar saringan kesihatan itu merebut peluang menjalankan pemeriksaan kesihatan segera.

Jimmy berkata kerajaan memandang serius penjagaan kesihatan kerana lonjakan pembangunan sosioekonomi keluarga dan negara bergantung pada rakyat yang sihat dan produktif.

Pada majlis itu, lima individu menerima bayaran Faedah Hilang  Upaya Kekal (FHUK), Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Pencen Ilat dan Faedah Pengurusan Jenazah daripada Perkeso.

--BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke JamuanĀ Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel