Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas CEO 1MDB terima bonus 18 bulan gaji, dengan gaji bulanan RM80,000


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa beliau menerima bonus 18 bulan gaji pada tahun 2012, semasa menerima gaji RM80,000 sebulan.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau juga menerima bayaran sebagai anggota lembaga pengarah, elaun yang sama seperti lain-lain anggota lembaga, yang berjumlah RM179,000 setahun dan RM1,500 setiap mesyuarat.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada timbalan pendakwa raya kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan berkaitan 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sri Ram: Adakah yang dituduh menyuarakan sebarang rasa puas hati dengan kerja-kerja anda?

Shahrol Azral: Oh ya.

Sri Ram: Boleh berikan contoh insiden di mana dia menyuarakannya?

Shahrol Azral: Pada tahun 2011 atau 2012, saya terima panggilan di pejabat saya daripada setiausaha sulit perdana menteri ketika itu, yang memberitahu perdana menteri hendak bercakap.

"Ketika itu Datuk Seri Najib ingin tahu mengenai status projek-projek tanggungjawab sosial korporat yang sedang kami laksanakan untuk Yayasan 1MDB.

"Saya sangat teruja dan saya ingat lagi semasa perbualan itu saya dengan sopan memotong cakap Datuk Seri Najib beberapa kali semasa dia bertanyakan soalan, kerana saya tahu apa yang ditanya, saya ada jawapannya dan saya sangat gembira bercakap secara terus dengannya,” katanya.

Sri Ram: Kenapa anda gembira?

Shahrol Azral: Dia ada perdana menteri, bukan selalu anda dapat peluang untuk bercakap dengan perdana menteri.

"Beberapa hari kemudian, Jho Low beritahu saya dia (Jho Low) bercakap dengan Najib yang memberitahu berkenaan perbualan itu, dan dia (Jho Low) beritahu saya “bos sangat gembira, dan nampak Shahrol mengawal semuanya dengan baik”.

Semasa ditanya sama ada beliau mendapat sebarang ganjaran berbentuk wang kemudiannya, saksi itu berkata beliau mendapat bonus bagi tahun 2012.

Sri Ram: Bonus berapa bulan?

Shahrol Azral: Bonus 18 bulan. Ketika itu gaji saya sekitar RM80,000.

Saksi itu turut berkata beliau menerima RM80,000 sebulan semasa beliau mula bertugas dengan Terengganu Investment Authority Berhad, sebelum ia bertukar kepada 1MDB.

"Di 1MDB, saya terima kenaikan gaji setiap tahun. Gaji terakhir saya adalah RM99,000 sebulan," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel