Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

e-visa untuk melancong ke Arab Saudi - Mohamaddin


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





KUALA LUMPUR, 1 Okt  -- Kerajaan Arab Saudi kini menawarkan e-visa (elektronik visa) bagi tempoh setahun untuk rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara itu bermula bulan ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan Arab Saudi menawarkan visa untuk tiga bulan (90 hari) bagi tujuan pelancongan ke negara itu.

“Mereka kini ‘buka pintu, buka hati” kepada kita, dasar juga dilonggarkan di mana bagi pelancong Malaysia yang ingin ke Arab Saudi hanya perlu membayar 300 Saudi Riyal (RM335.68) sahaja dan mereka boleh keluar masuk ke negara itu dalam tempoh setahun,” katanya.

“Mereka (Arab Saudi) juga akan menghantar pegawai daripada sektor pelancongan mereka ke Malaysia untuk mengenal pasti cara mengendalikan pentadbiran pelancongan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran ‘The Great Steppe: History and Culture’ di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Katanya menerusi tawaran e-visa itu juga, ia dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

Pada 28 Sept lepas, Mohamaddin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata keupayaan Malaysia membangunkan sektor pelancongan negara berjaya menarik kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan hubungan dua hala yang lebih erat dalam sektor pelancongan.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Commision of Tourism and National Heritage Ahmad Aqil Al Khatib sewaktu menerima kunjungan hormat Mohamaddin ke Riyadh.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran pameran The Great Steppe: History and Culture’  sangat bertepatan dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam memperkenalkan Malaysia kepada negara luar.

“Kita jangkakan seramai 50,000 pengunjung akan menghadiri pameran yang sangat bermakna ini sepanjang sebulan ia diadakan,” katanya.

Pameran bermula hari ini hingga 31 Okt itu menampilkan pelbagai artifak daripada Kazakhstan selain kostum 'Manusia Emas'  yang ditemui sekitar abad ke-5 sebelum Masihi yang diperbuat daripada lebih 4,000 kepingan emas yang berasingan dan kebanyakan bermotifkan haiwan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata pameran berkenaan turut diadakan sempena persidangan Asian National Museum Association (ANMA) pada 29 hingga 31 Okt ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel