Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hubungan Pakistan-Malaysia dijangka capai tahap baharu di bawah kepimpinan semasa - Duta


Tarikh kemaskini: 01/10/2019





Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Pencergasan semula hubungan antara Malaysia dan Pakistan di bawah kepimpinan semasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Imran Khan akan melonjakkan kerjasama pelbagai aspek dalam bidang baharu.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Amna Baloch, yang memulakan tugasnya di sini sebulan lepas, berkata semasa kedua-dua pemimpin bertukar-tukar lawatan dua hala, Pakistan dan Malaysia telah bersetuju untuk membawa kerjasama dalam bidang politik, perdagangan dan pelaburan serta pertahanan ke tahap baharu.

"Saya berharap kita akan dapat menjadikan Pakistan dan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik pada hari-hari yang mendatang," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu temu bual di Suruhanjaya Tinggi Pakistan baru-baru ini.

Lawatan rasmi sulung Imran Khan ke Malaysia adalah pada November lepas manakala Dr Mahathir membalas kunjungan itu dengan lawatan rasmi tiga hari ke Islamabad pada Mac yang menyaksikan beliau turut menerima anugerah untuk orang awam tertinggi negara itu, Nishan-e-Pakistan atau Order of Pakistan.

Kedua-dua pemimpin telah bersetuju meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik semasa kunjungan Dr Mahathir pada Mac.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata kedua-dua pemimpin memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan Pakistan-Malaysia kerana mereka berkongsi pandangan yang sama dalam banyak isu di peringkat antarabangsa seperti Ummah (komuniti umat Islam) dan multilateralisme.

"PM Imran Khan, meskipun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, telah memandang tinggi Dr Mahathir. Saya rasa kepimpinan kedua-dua negara adalah sependapat. Dari sudut pandangan ini, saya dapat melihat bahawa hubungan ini (antara Malaysia dan Pakistan) mempunyai potensi yang besar," katanya.

Sementara itu, jawatankuasa bersama Malaysia-Pakistan berkaitan peluang perdagangan dan pelaburan, yang diumumkan minggu lepas, adalah susulan kepada pertemuan antara pemimpin dan pegawai kedua-dua negara untuk mengenal pasti cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan aktiviti perdagangan dan komersial serta pelaburan, kata Baloch.

Beliau berkata Pakistan berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dan telah mempelawa perniagaan Malaysia untuk memanfaatkan zon ekonomi khas (SEZ) di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan.

"Kami akan berasa amat gembira melihat lebih banyak syarikat Malaysia di Pakistan. Zon ekonomi khas ini akan menyediakan pad pelancaran untuk mempromosi eksport mereka ke Timur Tengah dan Afrika," katanya.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan ialah RM5.91 bilion tahun lepas, satu peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding RM5.76 bilion pada 2017. 

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan diwujudkan pada 1957.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel