Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP P. Pinang nafi terlibat anjur konsert


Tarikh kemaskini: 02/10/2019




GEORGE TOWN, 2 Okt -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menafikan terlibat dengan penganjuran konsert artis dari Taiwan di Spice Arena, Bayan Lepas dekat ini yang dijadualkan pada 21 Sept lepas.

Penafian itu dibuat pengarahnya Mohd Ridzuan Abdul Ghapar hari ini berikutan penganjur konsert tersebut menggunakan logo KPDNHEP yang terdapat pada promosi serta iklan Konsert Fantastic Duo 2019.

"Pihak KPNDHEP Pulau Pinang tidak pernah terlibat atau memberikan sebarang kelulusan kepada penganjur konsert itu untuk membenarkan mereka menggunakan logo kementerian bagi mempromosi serta menganjurkan konsert  berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Konsert anjuran WTW Entertainment Sdn Bhd yang dijadualkan berlangsung pada 7.45 malam, 21 Sept lepas itu dibatalkan pada 9.30 malam berkenaan. Konsert itu menampilkan dua penyanyi Taiwan, David Teo dan Shin dan difahamkan sebanyak 6,000 tiket  berharga antara RM158 hingga RM588 telah di jual.

Selain KPDHEP, promosi konsert berkenaan turut menggunakan logo Cuti-cuti Malaysia, Malaysia Truly Asia dan Visit Truly Asia Malaysia 2020.

Mohd Ridzuan berkata tindakan penganjur menggunakan logo KPNDHEP itu seolah-olah pihaknya turut terlibat dalam penganjuran konsert tersebut sedangkan kementerian langsung tidak mengetahui mengenainya.

Menurutnya susulan daripada itu, pasukan penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang telah ke pejabat syarikat yang menganjurkan konsert tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenainya dan mereka memaklumkan akan hadir ke pejabat KPDNHEP negeri namun sehingga hari ini gagal berbuat demikian.

"Sehubungan itu, penganjur diminta tampil ke pejabat KPDNHEP Pulau Pinang bagi memberi penjelasan dan jika gagal hadir, kami akan mengesan mereka untuk siasatan kes tersebut," katanya dan menambah siasatan menurut Seksyen 16 (1) Akta Perihal Dagangan 2011 sedang dijalankan kerana membuat repesentasi palsu bahawa perkhidmatan mereka diluluskan agensi kerajaan.

Katanya KPDNHEP Pulau Pinang telah membuat laporan polis pada 22 Sept berhubung isu berkenaan serta pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

"Penganjur mempunyai rekod penganjuran beberapa konsert sebelum ini namun ini  adalah kali pertama mereka menggunakan logo agensi kerajaan dan membatalkan konsert. Kami juga meminta orang ramai atau pembeli tiket supaya tampil membuat tuntutan untuk membantu siasatan," katanya.

Mohd Ridzuan berkata penganjur yang sama turut menganjurkan Massive Worldwide Festival 2019 di Stadium Batu Kawan pada 4 hingga 6 Okt ini dan iklan serta promosi program yang membabitkan artis terkenal antarabangsa itu turut menggunakan logo KPDNHEP sebagai penyokong program.

Katanya namun pihaknya turut dimaklumkan konsert yang harga tiketnya bermula RM488 itu turut dibatalkan tanpa sebarang penjelasan daripada pihak penganjur, bagaimanapun sejumlah tiket telah di jual kepada pengguna.

"Kami bekerjasama dengan pihak polis bagi menjalankan siasatan perhubung penggunaan logo KPDNHEP kerana kami bimbang jika ia membabitkan penipuan atau terdapat unsur jenayah," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel