Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasukan khas KPDNHEP siasat syarikat jual barangan elektrik tidak setimpal harga


Tarikh kemaskini: 02/10/2019




GEORGE TOWN, 2 Okt -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat taktik sebuah syarikat yang menggunakan teknik manipulasi sehingga pengguna membeli barangan elektrik yang tidak setimpal dengan harga.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata syarikat itu biasanya menggunakan jurujual mereka yang beroperasi di pusat-pusat membeli belah, untuk memperdaya dengan cara yang hampir sama dengan kegiatan gores dan menang.

Beliau berkata jurujual ini biasanya menyasarkan individu berusia 40 tahun ke atas dan akan berbohong kononnya individu berkenaan telah menang sesuatu, yang hadiah biasanya berupa tunai RM1,000, namun mereka terpaksa beli empat barang elektrik pada harga sekitar RM5,000 untuk mendapatkan wang itu.

"Berdasarkan siasatan, syarikat itu didapati akan membuat permohonan kepada pihak bank bagi membolehkan individu berkenaan membayar secara ansuran bulanan ke atas jumlah wang yang dipotong melalui kad kredit dan perkara itu dibuat tanpa sebarang dokumen," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu menurutnya barangan elektrik seperti periuk nasi elektrik, alat urutan elektrik dan pelbagai lagi yang dibeli menerusi cara ini biasanya didapati tidak setimpal dengan harga.

"Kami ingin menggesa mereka yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat tuntutan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dan turut membuat laporan polis.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati dengan teknik penjualan seperti itu malah berfikir dahulu sebelum membuat pembayaran dengan menyerahkan kad debit atau kad kredit masing-masing," katanya.

Beliau berkata di antara 1 Januari dan semalam, 17 tuntutan membabitkan kes sedemikian telah dibuat menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan jumlah tuntutan sebanyak RM71,764.29.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel