Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga wanita rugi lebih RM37,000 ditipu sindiket siber


Tarikh kemaskini: 02/10/2019





KEPALA BATAS, 2 Okt -- Tiga orang wanita membuat laporan polis semalam mendakwa menjadi mangsa penipuan siber dalam kes berasingan melibatkan kerugian  berjumlah RM37,960, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini.

Katanya dua daripada wanita itu merupakan jururawat yang terjebak dengan sindiket yang menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud sementara seorang lagi adalah wanita berumur 70 tahun yang terperangkap oleh sindiket Love Scam.

“Salah seorang daripada jururawat itu yang berumur dalam lingkungan umur 30-an kerugian RM22,840 melalui sembilan transaksi bank ke dalam satu akaun yang diberikan sindiket itu kononnya untuk tujuan bayaran-bayaran pemprosesan, guaman, insurans dan duti stem,” katanya di sini.

Seorang lagi jururawat yang dalam lingkungan umur 30-an juga dipercayai turut diperdayakan oleh sindiket yang sama berdasarkan modus operandi yang serupa sehingga kerugian RM6,770.

“Kedua-dua mangsa tertarik dengan perkhidmatan pinjaman wang mudah yang ditawarkan sindiket itu melalui laman sosial dan meninggalkan maklumat peribadi mereka di laman berkenaan sebelum anggota sindiket itu menghubungi mereka,” katanya.

Dalam kes ketiga, wanita warga emas yang ditipu sindiket Love Scam kehilangan RM8,350 selepas diperdayakan oleh seorang lelaki yang dipercayai anggota sindiket itu yang menyamar sebagai seorang doktor yang sedang berkhidmat di Amerika Syarikat.

Menurut Noorzainy, mangsa membuat lapan transaksi kewangan untuk jumlah itu ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh seorang lagi anggota sindiket itu yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantar bagi mendapatkan barangan berharga dan wang tunai yang kononnya dihantar oleh doktor berkenaan.

“Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas itu ‘doktor’ berkenaan tidak dapat dihubungi setelah dia memasukkan wang itu dan dia telah membuat laporan polis semalam setelah dinasihati oleh rakannya,” katanya.

Noorzainy berkata pemilik-pemilik akaun bank yang digunakan oleh sindiket ini sedang dikesan untuk membantu siasatan kes-kes ini yang dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel