AKSEM Perlis tahan 16 pati Myanmar di pagar sempadan
Tarikh kemaskini: 02/10/2019

PADANG BESAR, 2 Okt -- Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis memberkas 16 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ketika cuba keluar dari negara ini, pagi ini.
Komander AKSEM Perlis, DSP Rodzi Abu Hassan berkata, kesemua PATI itu ditahan kira-kira pukul 7.00 pagi ketika sepasukan anggota AKSEM ternampak sekumpulan lelaki mencurigakan di Jalan Bukit Kerengga, Kampung Kubang Tiga di sini, hari ini.
“Kesemua mereka yang berumur 18 hingga 32 tahun berada di kawasan belukar di sebuah khemah usang yang berhampiran dengan pagar sempadan pada jarak lapan kilometer.
“Siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau permit yang sah. Kesemua mereka juga telah didapati berada di negara melebihi dua tahun dan dipercayai bekerja sebagai nelayan,” katanya pada sidang media di Kompleks AKSEM Chuping di sini.
Beliau berkata kesemua mereka ini menggunakan laluan tikus dengan mengupah seorang tekong (ejen) pada kadar RM1,400 setiap seorang menggunakan khidmat penduduk tempatan untuk ke pagar sempadan.
Semua suspek ini juga dipercayai dibawa oleh ejen menggunakan kereta dari Selangor dan Pulau Pinang ke lokasi tangkapan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa permit atau pas yang sah dan kesemua mereka ini diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut,” kata Rodzi.
Dalam perkembangan lain, AKSEM turut merampas tiga buah kereta klon dalam dua siri tangkapan berasingan di Kampung Batu Hampar, Seriab dan Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar semalam pada pukul 4 petang dan 10 malam.
Rodzi berkata kenderaan klon yang dirampas adalah jenis Mazda 5, Honda Civic FD dan Toyota Vios dipercayai belum lulus cukai kastam dengan nilai keseluruhan berjumlah RM125,000.
“Di Alor Setar, AKSEM turut menahan seorang lelaki berumur 30 tahun. Kesemua kenderaann itu telah diperiksa dan mendapati nombor chasisnya tiada di dalam sistem,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai cukai atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
-- BERNAMA
|