Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TMM 2019 banyak bantu pengusaha sektor warisan


Tarikh kemaskini: 02/10/2019





MELAKA, 2 Okt – Kebanjiran pelancong dari luar dan dalam negara ke bumi Hang Tuah sempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) banyak membantu perniagaan sektor warisan khususnya pembuatan kuih tradisional.   

Menurut rekod Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, negeri ini menerima sebanyak 9.02 juta orang pelancong sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Pengusaha kuih Keria Bang Botek, Zaiton Osman, 42, berkata jualan kuih keria di kedainya dekat  Sungai Putat meningkat semenjak  promosi Tahun Melawat Melaka 2019 yang bermula pada akhir tahun lepas.

“Alhamduillah sambutan pelancong terhadap kuih keria memang ‘meletop’… ada di kalangan pelancong khususnya dari dalam negara seperti Kuala Lumpur dan Johor berulang kali datang ke gerai saya setiap kali mereka datang bercuti ke Melaka,” katanya yang mesra dengan panggilan ‘Kak Zai’.

Bercakap kepada Bernama, Zaiton berkata pada hari biasa beliau mampu menjual sebanyak 2,000 biji kuih keria sehari dan permintaan bertambah pada hujung minggu dan ketika cuti sekolah iaitu mencecah sehingga lebih 5,000 biji sehari.

“Ramai juga pelancong dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, negara Eropah dan China datang ke sini semata-mata untuk menikmati kuih keria ‘Bang Botek’ nama yang diambil sempena anak lelaki saya.

“Rata-rata pelanggang memuji bahawa kuih keria yang akak (kakak) hasilkan begitu lembut.  

Beliau berkata masalah utama yang dihadapi olehnya adalah bekalan ubi keledek sehingga terpaksa mendapat bekalan daripada pemborong di Sepang, Selangor.

Keledek adalah bahan utama digunakan dalam membuat kuih keria, selain tepung gandum. Dua bahan itu diuli kemudian dibentuk seperti donut.   

“Saya perlukan sebanyak satu tan ubi keledek untuk seminggu bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya sambil menggoreng kuih keria selama 15 minit sebelum digaul bersama larutan gula Melaka, gula batu dan gula pasir dalam proses akhir membuat kuih keria.

Sementara nada berbeza dizahirkan oleh pengusaha dodol Melaka yang mendakwa bahawa perniagaan mereka semakin merosot sejak kebelakangan ini walaupun negeri ini menerima ramai pelancong berbanding tahun lalu.

Pengarah Hamidah Food Industry, Atiqah Liakatali, 34, yang menjual dodol dan makanan ringan berkata walaupun jumlah pelancong yang datang ke negeri ini meningkat, hasil jualan produknya sedikit merosot jika dibandingkan daripada tahun sebelumnya.

Beliau berharap selain memberi tumpuan kepada jumlah kedatangan pelancong ke Melaka, pihak kerajaan negeri perlu membantu pengusaha kuih warisan meningkatkan hasil pendapatan dengan mencari pasaran ke luar negara.

“Kalau boleh saya harap kerajaan negeri dapat mewujudkan kembali program membawa produk makanan tradisional Melaka ke luar negara seperti ke China yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel