Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri Pahang turut bantah perpindahan KSHAS


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





KUANTAN, 3 Okt -- Kerajaan negeri Pahang turut membantah tindakan pengurusan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memindahkan kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin dekat sini, yang dijadualkan bermula pada Jun tahun hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengurusan universiti itu juga digesa menyemak semula keputusan melaksanakan 'Reimagining UNITEN' yang menyaksikan Operasi Kampus Berpusat antara KSHAS disatukan dengan kampus Putrajaya sebagai satu entiti.

KSHAS yang dibina di kawasan seluas 68 hektar atas kelulusan kerajaan negeri pada penghujung 1990-an menurut Wan Rosdy, turut memainkan peranan dalam meningkatkan aktiviti sosioekonomi bandar Muadzam Shah, bermula daripada kemasukan pertama pelajarnya seramai 200 orang pada tahun 2001. 

"Kemuncak pelajar ialah pada tahun 2015 dengan jumlah 4,300 pelajar dan sungguhpun kini pelajar menurun kepada 1,300 orang, namun ini merupakan kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. 

"Apabila keadaan ekonomi bertambah baik, saya percaya jumlah kemasukan pelajar akan kembali ramai. Daripada usaha menutupnya, adalah lebih wajar usaha untuk menyemarakkannya dilakukan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini. 

Wan Rosdy berkata antara usaha yang boleh dilakukan ialah dengan memperkenalkan lebih banyak kursus di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana di KSHAS. 

Beliau juga menyifatkan KSAS juga mempunyai nilai sentimental kepada Pahang, kerana namanya adalah bersempena Sultan Pahang kelima iaitu Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, yang memerintah negeri selama 45 tahun bermula 7 Mei 1974.

Pada 28 Sept lalu, UNITEN menerusi kenyataan medianya mengesahkan penggabungan KSHAS dan kampus Putrajaya menerusi inisiatif 'Reimagining UNITEN' bagi melonjakkan nama universiti dalam berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dengan cabaran semasa landskap pendidikan tinggi negara masa kini.

UNITEN bagaimanapun berkata mereka akan berganding bahu dengan Jabatan Real Estate Ventures (REVD) Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mentransformasikan KSHAS kepada premis TNB yang baharu sebagai meneruskan kesinambungan peranan mereka di Muadzam Shah. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel