Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peluang pekerjaan meluas untuk orang muda di Tanjung Piai 


Tarikh kemaskini: 03/10/2019




PONTIAN, 3 Okt -- Peluang pekerjaan di Tanjung Piai, di sini, dilihat semakin meluas khususnya untuk golongan muda di kawasan ini terutama dengan berkembangnya sektor pelancongan di penghujung benua Asia ini.

Kawasan Tanjung Piai bukan sahaja terkenal dengan dua taman negara iaitu Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup, malah taman rekreasi seperti Pantai Rambah dan Teluk Kerang, turut mengundang pengunjung bukan setakat masyarakat sekitar dan tempatan tapi juga dari luar negara.

Usahawan Ghazaley Ayub berkata dengan adanya kedua taman negara itu, ia merupakan pasaran pelancongan tersedia untuk dipasarkan yang menjanjikan potensi yang sangat besar. 

“Saya lihat begitu besar potensi anak-anak muda ini untuk menceburi bidang-bidang seperti pelancongan, kraftangan, agro pelancongan ini semua dan mereka tak perlu keluar dari sini untuk mencari pekerjaan,” kata beliau ketika ditemui di kedainya di Kampung Serkat, di sini, hari ini.

Beliau yang mengusahakan perniagaan keropok lekor di sini, sendiri percaya dengan keupayaan anak tempatan dan mempunyai 18 pekerja yang kesemuanya berasal di Mukim Serkat, di sini.

Selain itu, Ghazaley turut berkata dengan siapnya jambatan kedua pada tahun 2021 yang menyambungkan Gelang Patah dan Pontian, merentasi Sungai Pulai, akan memendekkan perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian, seterusnya menarik lebih ramai pengunjung dari Singapura ke Pontian melalui jambatan itu.

Sementara itu, Mohd Fairus Ab Halim berkata beliau  memilih untuk bekerja di Tanjung Piai, di sini, memandangkan dia boleh berada dekat dengan keluarga di Kampung Serkat, di sini.

Pemuda berusia 34 tahun itu berkata dia sudah bekerja di sini selama 13 tahun dan bersyukur  kerana dekat dengan keluarga sekaligus dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Bapa saya sebelum ini beri pilihan, kalau nak bekerja di luar, pastikan gaji lebih lagi. Kalau sama dan kos sara hidup tinggi di luar, baik kerja di kampung halaman sahaja,” tambahnya yang kini berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

Nur Syafiqah Jamil pula menyifatkan latihan praktikalnya sebelum ini telah membuka peluang pekerjaan untuknya.

“Sebagai anak muda, kita tak boleh melihat tempat macam jauh terperuk, bukannya tiada peluang pekerjaan. Sebenarnya ada dan banyak, yang penting kita kena usaha dan cari,” kata wanita berusia 24 tahun itu dari Kampung Penerok, di sini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel