Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Calon PT3, SPM SMK Seri Kota Puteri 2 dipindahkan jika kebakaran tapak pelupusan sampah tidak dapat dikawal


Tarikh kemaskini: 03/10/2019




JOHOR BAHRU, 3 Okt -- Pusat peperiksaan Pentaksikran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Masai, di sini, akan dipindahkan ke sekolah lain sekiranya kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri, tidak dapat dikawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata ia bagi mengelak kesan buruk terhadap calon PT3 yang sedang menduduki peperiksaan itu dan calon SPM yang bakal menghadapi peperiksaan pertengahan bulan ini kerana tapak itu berada kira-kira satu kilometer dari sekolah berkenaan.

“Seandainya memang tidak boleh dikawal (kebakaran), kita terpaksa membuat pemindahan (ke sekolah lain) supaya pelajar boleh menjawab (peperiksaan) dalam keadaan tenang dan tiada gangguan. Sebab itu saya datang ke sekolah ini, hari ini bagi meninjau keadaan,” katanya yang ditemui pemberita di SMK Seri Kota Puteri 2 berkenaan.

Aminolhuda berkata terdapat seramai 100 calon menduduki PT3 di sekolah itu manakala 124 calon lagi bakal menduduki SPM.

Beliau berkata pada masa sama, pihaknya berharap pihak bertanggungjawab termasuk anggota bomba dapat memadam kebakaran dalam masa terdekat supaya sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang mempunyai 548 pelajar itu tidak terjejas akibat bau asap.

“Saya mewakili kerajaan negeri, merasakan kejadian kebakaran ini sangat menyedihkan. Sepatutnya anak-anak boleh menduduki peperiksaan dengan tenang tetapi kejadian ini sudah mengganggu mereka,” katanya sambil menambah setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan terdapat pelajar mengalami masalah kesihatan akibat kejadian berkenaan.

Kebakaran membabitkan kawasan 1.6 hektar di tapak pelupusan sampah haram seluas 2.4 hektar itu berlaku sejak 7 Sept lepas.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon turut meninjau lokasi kebakaran terbabit.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar yang ditemui di tapak pelupusan sampah haram terbabit berkata kebakaran berjaya dipadamkan sehingga 65 peratus setakat tengah hari ini.

“Operasi pemadaman yang disambung hari ini melibatkan kekuatan sama seperti semalam iaitu lapan anggota dan lima jentera. Kita sudah membuat ‘fire break’ iaitu membina longkang sejak dua hari lepas bagi mengelakkan kebakaran terus merebak,” katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel