Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

RM5.5 juta bina bangunan baharu PPKI pendengaran SMK Peter Mojuntin


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





KOTA KINABALU, 3 Okt -- Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta bagi membina bangunan baharu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Pendengaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peter Mojuntin, Penampang.

Peruntukan itu dimaklumkan Menterinya Dr Maszlee Malik ketika berucap pada Program Bertemu Kasih Bersama Warga Pendidikan Sabah yang turut dihadiri Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Pendidikan negeri Dr Mistirine Radin di Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.

Maszlee berkata kementeriannya turut menyalurkan dana sebanyak RM875,000 bagi memperkasa pembangunan anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) di Sabah menerusi program PPKI.

"Kementerian Pendidikan turut memberi tumpuan kepada sekolah daif di Sabah. Ada 707 sekolah daif yang sedang saya pantau kerja-kerja baik pulihnya. Tahun ini, peruntukan disalurkan dalam dua fasa dengan fasa pertama RM10 juta untuk tiga sekolah dan fasa kedua RM78 juta bagi 19 sekolah.

"Kami juga tidak melupakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Mubaligh yang ada di Sabah. Peruntukan yang diberikan kepada sekolah-sekolah ini akan diteruskan," katanya.

Maszlee berkata usaha mengatasi isu sekolah daif di Sabah menjadi antara komitmen utama beliau sebagai menteri kerana menurutnya setiap rakyat berhak mendapat pendidikan berkualiti bukan sahaja melalui mutu pengajaran diberikan oleh setiap guru tetapi juga infrastruktur pembelajaran kondusif dan lengkap.

Beliau berkata akses persekolahan kepada kanak-kanak warganegara tanpa dokumen di Sabah juga akan dibuka bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan kerana ia penting untuk masa depan Sabah, selain  komited untuk mengatasi masalah keciciran murid terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Kementerian Pendidikan memerlukan bantuan Jabatan Pendidikan Sabah untuk kita bersama-sama memastikan anak-anak ini mendapat akses pendidikan kerana saya percaya pendidikan boleh mengeluarkan kita daripada kemiskinan seterusnya melakar masa depan lebih terjamin," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel