Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tumpas ‘Kumpulan Badau’ curi racun di PPK Kerian


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





BAGAN SERAI, 3 Okt -- Polis berjaya menumpaskan ‘Kumpulan Badau’ dan seorang peniaga, yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk premis dan melarikan racun pertanian bersubsidi, membabitkan kerugian RM100,000 di enam Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di daerah Kerian, sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata lima lelaki anggota kumpulan itu yang berumur antara 18 hingga 31 tahun, manakala peniaga lelaki berumur 39 tahun berkenaan, telah ditahan pada 18 hingga 20 Sept lalu, di beberapa kawasan di daerah ini, selepas kejadian kecurian dilaporkan kepada polis.

Beliau berkata difahamkan peniaga itu menjadi pembeli racun yang dicuri daripada kumpulan terbabit, sebelum dijual di pasaran dengan harga tinggi antara RM45 hingga RM60 bagi botol seberat satu liter.

Katanya, kumpulan itu diketuai seorang bekas banduan berumur 31 tahun, yang baharu enam bulan keluar dari Penjara Jawi, Pulau Pinang.

“Modus operandi kumpulan itu adalah menggunakan aplikasi waze untuk mencari sasaran pejabat PPK, untuk dipecah masuk pada waktu malam.

“Dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis menemui semula 10 kotak besar racun Jenama Basagram M 60 di mana di dalamnya mengandungi 10 botol racun rumpai dan sebuah kotak besar mengandungi tujuh botol racun rumpai jenama yang sama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata hasil soal siasat terhadap suspek, polis menemui satu alat gerudi tangan dan sepucuk pistol pegun, yang disembunyikan suspek.

Katanya, ketua kumpulan itu mempunyai empat rekod dadah, lelaki berumur 30 tahun mempunyai tiga rekod dan dua lagi lelaki 20 tahun dan 18 tahun masing-masing mempunyai satu rekod berkaitan dadah.

Beliau berkata kesemua mereka termasuk peniaga ditahan reman sehingga esok dan akan diserahkan kepada IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, kerana juga terbabit dengan kes pecah pejabat peladang di kawasan tersebut.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda atau pun sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Omar Bakhtiar berkata seorang lelaki ditahan kerana melarikan seutas rantai emas seorang wanita di sebuah rumah di Parit Haji Ismail pada 22 Sept lalu.

Katanya, modus operandi suspek berumur 24 tahun itu dengan berpura-pura menumpang untuk solat selepas itu melarikan rantai leher warga emas berumur 78 tahun dalam kejadian 9.15 malam itu.

Beliau berkata suspek telah ditangkap di Alor Pongsu pada 29 Sept lalu dan hasil siasatan suspek mengaku telah dua kali datang ke rumah mangsa pada petang dan malam itu ketika mangsa seorang diri di rumah.

Menurut beliau, semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dengan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel