Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembangunan bercampur bernilai RM1 bilion bakal dilaksana di Melaka


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





MELAKA, 3 Okt -- Projek pembangunan bercampur yang dianggarkan bernilai RM1 bilion melibatkan pembinaan resort banglo, vila air, hotel kaca, apartmen, taman tema air dan tempat perayaan bagi festival bakal dibina di kawasan tambakan laut di Kota Laksamana di sini. 

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata projek yang akan dimajukan syarikat, Bintara Niaga Development Sdn Bhd di kawasan konsesi seluas 40.47 hektar itu termasuk 160 resort banglo dua tingkat, 405 vila air dua tingkat, 745 apartmen bertingkat rendah, sebuah hotel kaca 16 tingkat dan taman tema air seluas 2.83 hektar. 

Beliau berkata projek pembangunan yang dilengkapi pelbagai infrastruktur termasuk kolam renang, restoran, spa, gimnasium, dewan konvensyen, marina bagi teksi air serta kolam perlindungan penyu dan ikan itu akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun bermula selewat-lewatnya enam bulan akan datang.

"Projek ini dijangka akan menjadi mercu tanda dan produk pelancongan terbaharu negeri Melaka serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan pada masa akan datang.

"Melalui perjanjian projek ini, kerajaan negeri akan menerima bayaran pampasan atau balasan lebih RM8 juta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Kerajaan Negeri Melaka dan Bintara Niaga Development di sini, hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani Adly bagi pihak kerajaan negeri manakala bagi pihak Bintara Niaga Development pula ia ditandatangani oleh Pengarah dan Pemegang Saham Utamanya, Datuk Tai Chee Ming.

Mengulas lanjut, Adly berkata bayaran pampasan itu antaranya bertujuan untuk Tabung Ekonomi Nelayan berjumlah RM500,000 dan masing-masing RM2.17 juta untuk royalti pasir dan pembangunan negeri Melaka.

Beliau berkata menerusi pembangunan itu juga, kerajaan negeri Melaka akan mendapat satu per lima bahagian daripada kawasan yang ditambak dalam konsesi yang diluluskan apabila projek berkenaan siap sepenuhnya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel