Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak punyai hak kenakan SST ke atas produk petroleum - Sharifah Hasidah


Tarikh kemaskini: 03/10/2019





KUCHING, 3 Okt -- Kerajaan negeri Sarawak mempunyai hak dari segi perlembagaan untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas penjualan produk petroleum berdasarkan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

SST, yang berkuat kuasa sejak Jan lepas diumumkan semasa pembentangan belanjawan negeri 2019 tahun lepas.

Berhubung artikel yang diterbitkan oleh portal berita, beliau yang bertanggungjawab bagi Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek berkata laporan berita itu mengandungi beberapa kenyataan tidak tepat.

Dalam artikel yang diterbitkan pada Isnin lalu, Malaysian Reserve, yang merujuk kepada Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan, telah membangkitkan mempersoalkan sama ada ia dibenarkan untuk Sarawak mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum apabila produk petroleum berada di bawah Senarai Persekutuan Perlembagaan Persekutuan .

Sharifah berkata, Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 telah diluluskan menurut Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, kuasa Dewan Undangan Negeri dari segi perlembagaan untuk meluluskan undang-undang mengenai SST tidak bergantung kepada Perkara 96 ??seperti dinyatakan dalam Malaysian Reserve,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Artikel 95B (3), Dewan Undangan Negeri Sabah atau Sarawak juga boleh menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri di Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah dianggap sebagai antara perkara-perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Sarawa memerlukan sumber pendapatan tambahan dari SST untuk memacu agenda pembangunannya.

Beliau berkata menurut data yang ada ada, dari 1976 hingga 2017, jumlah hasil yang diperoleh daripada pengeluaran dan penjualan minyak dan gas dalam wilayah Sarawak berjumlah RM550 bilion, yang hanya 5 peratus atau RM33 bilion telah dibayar kepada Sarawak.

"Oleh itu, Sarawak telah menyumbang dengan ketara kepada pendapatan persekutuan dari sumber minyak dan gasnya sejak 1976. Semua gas asli dari Sarawak telah ditukarkan kepada LNG untuk dieksport ke Jepun, Korea dan Taiwan, untuk memperoleh pertukaran asing yang sangat penting bagi Kerajaan Malaysia.

"Oleh itu, langkah mengenakan SST terhadap produk petroleum adalah menunaikan kewajipan fidusiari Kerajaan Negeri kepada rakyat Sarawak untuk mendapatkan agihan yang lebih adil hasil daripada minyak dan gas yang dihasilkan di Sarawak," katanya.

Berdasarkan kadar pengeluaran minyak dan gas sekarang di Sarawak dan harga minyak dunia semasa, jumlahnya adalah RM40 bilion setahun. SST akan menghasilkan kira-kira RM3 bilion hasil tambahan bagi Negeri, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel