Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Marin rampas 274 liter arak buatan sendiri di Tok Bali


Tarikh kemaskini: 04/10/2019





PASIR PUTEH, 4 Okt -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 274 liter cecair jernih disyaki arak buatan sendiri bernilai RM9,150 yang dipercayai diseludup dari Vietnam dalam satu serbuan di sebuah jeti di Tok Bali di sini, semalam.

Ketua Bahagian Operasi/Risiknya, DSP Mohd Razlini Abd Manaf berkata cecair yang siap diproses dan diisi ke dalam lapan tong  dan 23 botol bekas air mineral itu kemudian disorok di dalam lubang di bawah jeti awam yang sukar dikesan pihak berkuasa.

“Serbuan kira-kira 3 petang yang diketuai ASP Nik Ali Nik Mat itu dibuat selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan hasil risikan pihak kami,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali di sini, hari ini.

Mohd Razlini berkata cecair berkenaan diadun daripada  beras dan bahan kimia dipercayai diseludup masuk menerusi bot nelayan Vietnam yang beroperasi di Tok Bali bagi keperluan nelayan warganegara itu selain memenuhi permintaan nelayan tempatan.

Beliau berkata hasil rampasan itu dapat membendung  aktiviti jenayah, sosial dan perjudian yang sering berlaku sebelum ini kesan penggunaan arak tiruan yang tidak terkawal.

“Polis sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di persisiran pantai dalam usaha menangani  penyeludupan rentas sempadan berasaskan maklumat orang awam dan risikan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel